PH Bakal Kecundang Di Semenyih?

Reading Time: 3 minutes

Bukanlah satu bentuk ramalan, cuma berdasarkan perkembangan akhir-akhir ini, memberi ilham untuk aku menulis membayangkan kemungkinan-kemungkinan jika Pakatan Harapan tewas di Semenyih, berikut adalah senarai faktor penyebabnya yang mungkin telah menyumbang kemenangan calon Barisan Nasional.

Dengan tidak mahu mengulas panjang lebar, cukup sekadar menghuraikan senarai berikut:

1. janji PRU14 yang gagal dikota
Banyak janji yang masih gagal ditepati lebih-lebih lagi keputusan di saat-saat akhir memberi wang saku RM100 kepada golongan bujang dan rundingan mahu mengambil alih konsesi tol dari Gamuda mengisyaratkan kerajaan PH seolah-olah sedang cuba berhempas pulas memenuhi janji yang mereka buat sendiri.

2. kerjasama UMNO-PAS
Kerjasama yang semakin erat di antara PAS-UMNO tidak boleh dipandang ringan kerana beberapa ribu undi PAS dalam PRU yang lalu akan beralih kepada BN dan memberi saingan sengit kepada PH.

3. kekecewaan penyokong akar umbi PH yang rasa tertipu dan dipinggirkan
Melihat orang yang rapat dengan pimpinan atasan semakin berubah gaya hidup mereka, menukar kereta baru, renovate rumah, gaya berjalan pun sudah berubah, semakin sombong dan tidak kenal kawan, penyokong akar umbi ini mungkin tidak akan keluar mengundi atau membuat undi protes kerana merasa dipinggirkan. Kertas kerja projek yang tidak dilayan, projek diberi kepada kroni, surat aduan yang disenyapkan, adalah antara faktor yang membuat penyokong akar umbi semakin meluat terhadap PH. 

4. isu perkauman dan agama yang menaikkan kemarahan orang melayu
Isu rusuhan kuil dan kematian anggota bomba sedikit sebanyak menaikkan kemarahan kaum. Terbaru tindakan seorang lelaki Cina memuat naik status menghina Nabi Muhammad S.A.W di laman sosial telah mencetuskan kemarahan orang-orang Melayu di seluruh negara dan ia boleh menjadi faktor pengundi Melayu beralih undi kepada UMNO-PAS.

5. penipuan sijil akademik menteri
Ini isu yang amat memalukan dimana beberapa menteri didedahkan menggunakan sijil palsu dan ada yang tidak mempunyai sijil langsung tetapi mempromosi diri mereka sebagai graduan. Ini termasuk tindakan menteri yang mendiamkan diri bila dihebahkan oleh media bahawa mereka adalah lulusan dari universiti dan akhirnya terpaka membuat pengakuan bahawa mereka tidak pernah mengakui memiliki ijazah.

6. faktor Bukan Bishe-Bishe BossKu
Faktor bekas Perdana Menteri yang dilihat semakin mendapat sambutan hangat di kalangan rakyat dan golongan muda tidak boleh dipandang sepi. Menggunakan slogan ‘bukan bishe-bishe’, ‘malu apa Bossku’, ia patut dilihat sebagai satu isyarat bahawa Najib masih dirindui oleh sebilangan rakyat.

7. protes perokok terhadap larangan merokok di restoran
Meluluskan peraturan larangan merokok di premis makanan dan banyak lokasi lain telah menimbulkan kemarahan di kalangan perokok tegar dan undi mereka juga tidak boleh dipandang sepi. Kebanyakan perokok tidak peduli sangat tentang politik, mereka cuma mahu aktiviti atau tabiat biasa mereka tidak diganggu.

8. Pemilihan calon yang mempunyai ikatan kekeluargaan dengan bekas calon yang meninggal dunia seolah-olah menunjukkan PH ketandusan tokoh berwibawa dan mengamalkan nepotisme. Amalan ini pernah dilakukan oleh parti Barisan Nasional dahulu dimana DUN tertentu seolah-olah menjadi hakmilik tradisi sesebuah keluarga dan anggota parti yang lain tidak berpeluang menjadi calon hanya sekadar menjadi penyokong dan tukang kempen sahaja. 

Ditambah pula oleh sifat calon yang kelihatan seperti Mat Blur apabila disoal oleh wartawan dalam bahasa Inggeris, beliau seperti terkebil-kebil cuba memahami apa yang disoal dan seperti tidak faham apa maksud perkataan ‘approach’. Ini sangat memalukan PH. 

Faktor-2 di atas cuma pandangan dari penelitian terhadap perkembangan semasa. Kemungkinan ianya benar, kemungkinan tidak. Segalanya hanya masa yang menentukan. Tetapi PH tidak boleh memandang ringan terhadap faktor-faktor tersebut.