KUALA LUMPUR | Hanya sebanyak 10 ekor maksima haiwan korban dibenarkan semasa sambutan Hari Raya Aidil Adha pada minggu ini.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada keluasan kawasan tapak penyembelihan (korban) yang diadakan, jika kawasannya kecil maka jumlah korban juga adalah lebih kecil.
Demikian menurut Menteri Pertahanan (Sektor Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang medianya di Bangunan Parlimen hari ini.
Katanya lagi, SOP untuk majlis korban juga adalah tidak melebihi 20 orang untuk seekor haiwan korban. Untuk mengelakkan pematuhan SOP sukar dijalankan, kerajaan menggalakkan sembelihan dijalankan di pusat-pusat sembelihan seperti di Jabatan Veterinar atau di premis swasta.
Oleh kerana Hari Raya Aidil Adha jatuh pada hari Jumaat, kerajaan menggalakkan majlis korban diadakan pada hari kedua, ketiga atau keempat untuk mengelakkan pertembungan masa yang singkat antara solat sunat Aidil Adha dan solat Jumaat.
Jamuan Hari Raya di rumah juga tidak boleh melebihi 20 orang dalam satu masa.
Ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan sekatan rentas negeri seperti sebelum ini, beliau berkata kerajaan membenarkan perjalanan rentas negeri dan orang ramai boleh pulang ke kampung semasa tempoh cuti Hari Raya dan sekatan rentas negeri tidak akan dilaksanakan.
Bagaimanapun, mereka yang masih menjalani kuarantin di rumah tidak dibenarkan membuat perjalanan sebaliknya perlu kekal berada di rumah masing-masing.