Restoran Terkenal Disyaki Guna Bahan Tidak Halal

Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM, 14 November 2020 – Tular di laman sosial satu rakaman video oleh netizen dimana sebuah restoran terkenal disini menyajikan makanan ‘mee kari’ yang mengandungi bahan mentah daging yang disyaki daging babi.

Susulan daripada video tular berkenaan, pada 13 November 2020 sepasukan anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor seramai 5 anggota telah menjalankan pemeriksaan lanjut di premis makanan berkenaan yang terletak Subang Jaya Selangor.

Pengarah KPDNHEP Negeri Selangor, Tuan Muhamad Zikril Azan Bin Abdullah memaklumkan, hasil daripada pemeriksaan mendapati premis berkenaan mempunyai sijil halal JAKIM yang masih didalam tempoh sah sehingga 30 November 2020.

Menurut pengurus restoran terbabit, premis beliau mempunyai 3 orang pekerja warga Mynamar yang bertugas sebagai tukang masak di restoran berkenaan. Pemeriksaan lanjut anggota ke bahagian dapur restoran telah menemukan bahan mentah yang digunakan untuk menyediakan menu mee kari kepada pelanggan. Bahan mentah utama iaitu daging yang disyaki daging ayam disita bagi tujuan ujian makmal dan keterangan oleh pakar.

Turut disita semasa pemeriksaan adalah Sijil Halal JAKIM dan dokumen penghantaran bahan mentah oleh pembekal. Pengurus premis memaklumkan bekalan bahan mentah dipesan oleh pihak ibu pejabat syarikat restoran terbabit.​Kes akan disiasat dibawah kesalahan Perintah 3(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu apabila suatu makanan atau barang-barang diperihalkan sebagai halal atau diperihalkan dengan apa-apa ungkapan lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam, ungkapan tersebut bererti makanan atau barang-barang itu bukanlah dan tidaklah terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang oleh Hukum Syarak bagi orang Islam untuk memakannya atau yang tidak disembelih mengikut Hukum Syarak.

Dan jika disabitkan dengan kesalahan, ianya boleh didenda seperti dibawah Perintah 5 Perintah Perihal Dagangan 2011 iaitu:(a) Individu – Denda tidak melebihi RM 1,000,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berulang, denda tidak melebihi RM5,000,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.(b) Syarikat – Denda tidak melebihi RM5,000,000 dan bagi kesalahan berulang denda tidak melebihi RM10,000,00.Pengarah KPDNHEP Negeri Selangor menegaskan disini bahawa pihak KPDNHEP Selangor akan meneruskan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan mana-mana pemegang sijil halal JAKIM senantiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan serta senantiasa menekankan aspek kesucian dan kebersihan bagi menjamin kemaslahatan pengguna Muslim di negara ini.

Pemeriksaan yang sama turut dijalankan oleh pejabat KPDNHEP Cawangan Sepang, pejabat KPDNHEP Cawangan Kajang dan pejabat KPDNHEP Cawangan Gombak melibatkan seramai 15 anggota terhadap cawangan restoran berkenaan.Orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat berkaitan dengan isu halal oleh pihak pengusaha makanan dan minuman disarankan supaya melaporkan isu berkaitan melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau melalui web pihak KPDNHEP atau boleh juga disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dengan lebih efektif selaras dengan cogan kata kementerian “PANTAS, CEKAP DAN EFEKTIF”.