13 Pengusaha Limau Bali Tambun Rayu Kerajaan Beri Tanah Ganti Untuk Pertanian

Reading Time: < 1 minute

IPOH, 8 Jan 2022 – Sebanyak 13 keluarga pengusaha limau bali di Ampang, Tambun sedia berpindah asalkan 20 ekar tanah yang diambil alih oleh Maju Institute of Educational Development (MIED) diganti dengan kawasan tanah baharu.

Menurut ADUN Hulu Kinta, Mohamad Arafat, keluarga terbabit hanya meminta agar tanah baharu yang diganti itu terletak dalam kawasan 138 ekar tanah yang telah mereka usahakan dengan tanaman limau bali sejak beberapa generasi dari tahun 30-an lagi.

“Biarlah MIED usahakan dan bangunkan tanah 20 hektar itu yang mereka peroleh kelulusan dari kerajaan negeri atas tiket MIC.

“Namun begitu kerajaan negeri harus juga mendengar rintihan 13 keluarga ini atas dasar kemanusiaan,” kata Arafat dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat ADUN Hulu Kinta hari ini.

Menurut beliau, semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau telah mengadakan pertemuan dengan MIED, wakil pejabat tanah dan juga pengusaha limau bali terbabit agar penyelesaian yang menang-menang untuk kedua-dua pihak dan pertikaian untuk mengusir pengusaha keluar telah ditangguhkan sementara sehingga tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 bermula.

Pada Disember 2021, MIED melalui peguamnya telah mengarahkan 13 keluarga itu berpindah keluar dari tanah yang mereka usahakan kerana ia adalah tanah milik MIED.

Untuk rekod, MIED telah mendapat kelulusan tanah seluas 20 hektar itu semasa pentadbiiran BN pada 2001.

“Apa yang menghairankan, pengusaha limau bali itu telah membuat permohonan untuk mendapat kelulusan pertanian di situ sejak tahun 1996 lagi tetapi tidak pernah diluluskan, ” tambah beliau.

Beliau berharap rintihan keluarga pengusaha ini mendapat perhatian kerajaan negeri kerana mereka mempunyai keluarga yang perlu ditanggung melalui perusahaan tanaman limau bali ini.