TIC Perkasa STEM Lahirkan Generasi Berwawasan

Reading Time: < 1 minute

Ipoh, 26 Jun – Taj International College (TIC) melangkah ke depan lagi dalam visinya untuk melahirkan generasi penerus yang berilmu, mandiri dan berwawasan.

Matlamat ini direalisasikan dengan pelancaran projek ‘SCI-FIC LAB’ Science Technology Engineering Mathematic (STEM) 2024 bagi kursus diploma pendidikan awal kanak-kanak yang dirasmikan Pengarah Pendidikan Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson.

Pengerusi Eksekutif TIC, Puan Tina Datuk Seri Tajudin dalam ucapannya berkata, beliau percaya pengalaman praktikal yang diperolehi melalui penggunaan teknologi canggih ini akan memantapkan pengajian dan pembelajaran serta pendidikan pedagogi dalam menarik minat kanak-kanak terhadap STEM sejak dari peringkat awal.

“Saya berharap projek ini akan menjadi titik tolak baru dalam menyediakan sumber pengajian berdasarkan pengalaman yang diperlukan bagi pendidikan awal kanak-kanak mempersiapkan generasi peneraju masa depan,” kata Tina.

Datuk Mohamad Fauzi pula berkata, pihak jabatan pendidikan mendokong penuh usaha murni TIC dalam melaksanakan projek ini bagi melahirkan generasi pelapis yang berwawasan tinggi.