Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan media hari ini mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk menolak usul syarikat Maju Perak Holdings Berhad (MHB) meluluskan bayaran fi kepada Pengarah dan Pengarah bukan eksekutif untuk laporan kewangan berakhir 31 Disember 2017.
Cadangan itu dikemukakan pada Mesyuarat Agung Tahun (AGM) 2017 yang berlangsung hari ini. Pembayaran fi Pengarah ialah sebanyak RM386,250 manakala imbuhan pengarah bukan eksekutif dengan nilai mencecah RM150,000 dari 28 Jun hingga AGM yang akan datang.
Selain itu, usul dikemukakan untuk melantik semula 3 pengarah dan mengekalkan pengarah-pengarah bukan-eksekutif.
Ahmad Faizal sebagai pengerusi PKNP, badan yang memiliki saham majoriti dalam MHB, telah mengarahkan PKNP untuk menolak semua usul MHB.
Menurut kenyataan media itu, para pengarah MHB tidak wajar menerima bayaran fi yang besar untuk Laporan Tahun Kewangan 2017 berikutan prestasi yang mendukacitakan apabila mencatatkan kerugian bersih RM 11.01 juta seperti yang dicatatkan dalam laporan tahunan yang sama.
Pemberian imbuhan bagi tahun kewangan 2018 mestilah mencerminkan keadaan semasa yang serba mencabar.
Khidmat para pengarah sedia ada juga tidak sepatutnya disambung bagi memberi laluan kepada perubahan yang selari dengan polisi pentadbiran baru yang memberi keutamaan untuk memulihkan syarikat-syarikat berkaitan-kerajaan negeri yang tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan.
PKNP sebagai pemegang saham terbesar menolak semua usul MHB atas kepentingan kerajaan negeri Perak dan rakyatnya.
Pencarian senarai nama pengarah-pengarah oleh team Independent dari laman web Maju Perak Holdings mendapati halaman Boards of Directors telah diletak di bawah status ‘Under Construction’. Namun laporan mesyuarat tahun 2017 boleh dimuatturun dari sini dan kami memperolehi nama pengarah dan pengarah-pengarah bukan eksekutif tersenarai di dalamnya seperti di bawah ini.