Teka-teki Perlantikan Siti Aishah Sebagai Penasihat MB Diketahui 20 Julai

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Pelantikan Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail sebagai Penasihat Menteri Besar Perak yang kini menjadi teka-teki akan diketahui keputusannya pada mesyuarat Majlis Pakatan Harapan 20 Julai ini.

Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menjelaskan jawatan bertaraf Exco itu hanya merupakan cadangan Menteri Besar, Ahmad Faizal Dato’ Azumu dan masih belum diputuskan secara rasmi oleh Pakatan Harapan Perak.

Menurut beliau, cadangan itu akan dibincangkan secara menyeluruh dan dimuktamadkan dalam majlis mesyuarat Majlis Pakatan Harapan pada tarikh tersebut nanti.

“Selepas itu baru kita tahu keputusannya sama ada dia (Siti Aishah) boleh atau tidak boleh, tetapi masa ini masih terawang-awang belum lagi diputuskan. Adakah jawatan itu diperlukan, jadi kita akan bincangkan.

“Dalam kes Siti Aishah, surat tidak dikeluarkan lagi sebab keputusan belum dibuat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis jamuan Aidilfitri di Masjid Al-Hidayah Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Pengkalan Pegoh Seberang, Ipoh pada Ahad.

Mohammad Nizar mengulas penangguhan pelantikan Siti Aishah untuk memegang jawatan sebagai Penasihat Menteri Besar bertaraf exco yang diumumkan oleh Ahmad Faizal sebelum ini. Kelmarin, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji sama ada jawatan Penasihat Menteri Besar perlu diwujudkan termasuk dari segi bidang tugasnya serta terdapat keperluan atau sebaliknya.

Ditanya pemberita sama ada pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik yang menyokong Pakatan Harapan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai Penasihat Menteri Besar sah atau tidak, Mohammad Nizar berkata, perkara itu tidak timbul sebarang isu.

“Pelantikan itu telah diputuskan dan beliau dilantik secara rasmi, jadi tidak timbul sah atau tidak sah,” katanya.

Nizar turut mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya pelantikan Siti Aishah sebagai satu pembaziran.

“Kita sudah mengambil kira aspek semua pelantikan, sama ada pegawai yang ada hari ini boleh melaksanakan kerja… semua itu diambil kira dan selepas itu baru diputuskan.

“Kami bukan hanya kaji jawatan jawatan dalam pejabat Menteri Besar, jawatan lain pun kita kaji semula.

“Itu sebabnya Menteri Besar dia kata, baru-baru ini tujuh Pegawai GLC sudah kena pecat, itu kajian semulalah tu,”ujarnya.