IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu menzahirkan hasratnya untuk masuk hutan dan tinggal di kampung orang asli dalam masa terdekat ini bagi menyelami sendiri kehidupan seharian masyarakat itu.
Tanpa menyebut lokasi hutan mana yang beliau akan masuki, Ahmad Faizal hanya memberitahu hutan di negeri Perak.
“Saya tak beritahu sesiapapun…JAKOA dan Jabatan Perhutanan pun tak tahu.
“Sebenarnya saya akan masuk hutan dan duduk di kampung orang asli di dalam hutan, saya akan pergi bersama pegawai pengiring saya dalam diam-diam…Pegawai sayapun tak tahu, saya akan pergi dan melihat sendiri,’’ katanya semasa berucap merasmikan Bangunan Chinta Bistari di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak Kerawat (PKPOA), Simpang Pulai pada Sabtu.
Ahmad Faizal menyuarakan hasrat beliau ini apabila membuat pendedahan terdapat sekumpulan masyarakat orang asli di kawasan hutan Pengkalan Hulu, Gerik yang bersekongkol dan bekerjasama dengan pemburu haram dari luar negara untuk menangkap binatang liar yang hampir pupus ini.
Dalam masa yang sama beliau memuji tindakan sekumpulan masyarakat orang asli yang lain yang membantu kerajaan memungut perangkap-perangkap yang dipasang pemburu haram untuk menangkap haiwan liar yang dilindungi kerajaan.
“Saya amat setuju 100 peratus apabila menyebut orang asli ia amat dekat dengan tanah…Tapi dalam masa yang sama, saya nak cerita apa yang berlaku di Pengkalan Hulu, Gerik .
“Di sana ada satu khazanah dunia yang teramat penting…Hutan tropika di Royal Belum yang berusia 130 juta tahun yang dahulunya terdapat beribu ekor harimau kini telah berkurangan dan menurut kajian hanya tinggal 40 ekor.
“Ini kerana apa?…kerana pemburu haram, mereka datang dari luar masuk daripada Thailand kemudian masuk ke dalam hutan kita.
“Malangnya ada di kalangan kita yang beri kerjasama kepada mereka, kerana mungkin dapat antara RM400 ke RM500…tolong pasangkan perangkap untuk tangkap binatang liar yang hampir pupus ini.
“Dalam masa sama ada sekumpulan orang asli lain pula bekerjasama dengan Renjer Taman Negeri untuk kutip perangkap-perangkap ini.
“Jadi saya cakap orang kampung….mana aci, kalau orang asli nak tanah, jaga tanah jangan biarkan orang luar datang rosakkan bumi kita, tetapi kadang-kadang ada yang bekerjasama dengan pembalak haram,’’ kata Ahmad Faizal.
Sehubungan itu beliau meminta masyarakat orang asli di negeri ini bersatu hati menjaga kawasan tanah hutan yang mereka diami.
“Masyarakat orang asli mesti bersatu hati, jangan biarkan orang luar rosakkan bumi kita,’’ katanya.
Dalam ucapannya, Ahmad Faizal berkata apabila menyentuh isu kebajikan dan kemajuan orang asli ia amat dekat di hati beliau.
“Perasaan ini semakin kuat apabila saya dihantar bertanding DUN Chenderiang pada PRU14 dan semasa tempoh berkempen itu ada perkara yang amat menyentuh hatinya.
“Saya melihat sebuah rumah yang pernah saya lalui bersama arwah bapa saya menuju ke Cameron Highland lebih kurang 40 tahun lalu…Saya masih ingat rumah itu masih tidak berubah keadaannya, rumah itu kini didiami oleh anak dan cucu-cucu pemilik rumah itu.
“Bayangkan dalam tempoh 40 tahun tak ada perubahan yang ada pada rumah itu walaupun bilangan keluarganya telah bertambah.
“Dalam tempoh tiga bulan selepas diberi amanah memimpin kerajaan negeri saya telah melawat ke beberapa penempatan masyarakat orang asli di Perak, hasil lawatan itu saya dapati masih banyak yang perlu kita lakukan untuk tingkatkan taraf hidup masyarakat orang asli,’’ ujarnya.
Beliau berterima kasih kepada beberapa NGO dan syarikat konglomerat yang memainkan peranan membantu masyarakat orang asli di negeri ini. Ahmad Faizal turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan memastikan hak anak-anak masyarakat orang asli untuk mendapatkan pendidikan tidak akan dinafikan.
“Saya mahu pastikan setiap anak masyarakat orang asli akan dapat akses kepada pendidikan sebagaimana dinikmati anak di kawasan bandar dan luar bandar lain.
“Saya mahu melihat mereka berjaya dalam pelajaran… jadi pekerja yang mahir dan cemerlang dan jadi usahawaan yang hebat,’’ katanya.