Armada Perak Gesa ROS Bertindak Tegas Terhadap UMNO Isu Dana 1MDB

  • 245
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

IPOH | Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak hari ini menyerahkan laporan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menggesa supaya diambil tindakan tegas terhadap UMNO berhubung penerimaan wang haram daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Ketuanya, Mohd Hafiz Mubin Mohd Salleh, gesaan ini dibuat susulan pendedahan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan dana sejumlah RM212 juta yang telah dipindahkan daripada syarikat milik kerajaan itu kepada UMNO.

“Perbuatan ini tidak boleh dimaafkan kerana wang 1MDB sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi negara dan bukannya disalurkan demi kepentingan parti dan kegunaan UMNO.

“Tindakan memindahkan dana dengan jumlah yang begitu besar ini jelas menunjukkan terdapat salah guna kuasa dan kesalahan penggunaan wang rakyat oleh UMNO,” katanya.

Mubin berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan laporan tersebut kepada Pengarah ROS negeri, Norhasmaliana Ismail di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Meru Raya pada Isnin.

Turut hadir beberapa pimpinan Armada Bersatu Perak termasuk Ketua Armada Bersatu Bahagian Parit, Kuala Kangsar, Gopeng, Ipoh Barat dan Ipoh Timur.

Menurut Mubin, Armada Perak amat bimbang amalan terkutuk itu akan berulang kembali serta menjadi ikutan pada masa hadapan sekiranya tiada tindakan tegas diambil.

Beliau menggesa ROS mengambil tindakan terhadap UMNO mengikut peruntukan undang-undang sedia ada agar menjadi pengajaran kepada semua pihak bahawa penerimaan wang seumpama itu adalah haram dan salah di sisi undang-undang.

“Oleh itu, Armada Bersatu Perak menggesa ROS mengambil tindakan tegas ke atas UMNO atas amalan korup dan tidak bermoral ini,’’ tegasnya.