Bazar Ramadan Pandu Lalu Tidak Sesuai, Boleh Timbulkan Kluster Baru – Sultan Johor

Reading Time: < 1 minute

Konsep bazar Ramadan pandu lalu tidak sesuai dilaksanakan di Johor kerana risiko jangkitan koronavirus terlalu tinggi, menurut Sultan Johor Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar di dalam hantaran status di laman sosial Facebook baginda hari ini.

Tambahnya, pasukan barisan hadapan sedang bertungkus lumus bekerja bagi membasmi wabak itu dan baginda bimbang jika bazar Ramadan dilaksanakan, akan menimbulkan kesesakan jalan raya hingga membebankan lagi tugas pasukan penguatkuasa.

“Malah, amat sukar untuk menjamin tiada kemungkinan berlaku risiko kontak rapat dan jika timbul kluster baharu, bagaimana kita hendak mengawal virus ini,” titah Baginda.

Baginda meminta mereka di Johor untuk terus bersabar dan tabah menghadapi perintah kawalan pergerakan (PKP), yang kini memasuki fasa ketiga.

“Sabar itu separuh daripada iman. Tolonglah bersabar dan jangan ingkar perintah pergerakan. Pastikan anda hanya keluar jika ada sebab yang benar-benar memerlukan.

“Saya sendiri juga berkurung dan tidak ke mana-mana, jadi saya memahami rasa tidak senang kerana tidak dapat melakukan rutin harian seperti biasa,” titah Baginda.