Bil Elektrik Meningkat 3 Kali Ganda, Pengguna Disaran Kemuka Aduan Kepada Suruhanjaya Tenaga

Reading Time: < 1 minute

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah mengarahkan Suruhanjaya Tenaga untuk menyiasat dakwaan pengguna berkenaan peningkatan jumlah bil elektrik yang luar biasa.

Arahan dikeluarkan selepas pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengeluarkan kenyataan agar pengguna yang mengalami masalah terbabit datang terus dengan bil yang terkesan ke Kedai Tenaga yang berdekatan kerana data untuk setiap pengguna hanya boleh diakses di Kedai Tenaga.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, Suruhanjaya Tenaga boleh memulakan prosiding undang-undang terhadap syarikat pembekal utiliti negara itu jika ia didapati tidak memenuhi syarat di bawah Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990.

Pengguna juga boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Tenaga dengan melayari laman sesawang di sini (https://www.st.gov.my/microsites/index/4/8).

Laman sosial TNB Careline pula hari ini dipenuhi dengan aduan dan komen pengguna serta tidak kurang juga yang marah-marah dan mencaci dipercayai kerana tidak berpuas hati dengan penyata bil yang mereka dapat kali ini.

Ada yang menunjukkan tangkapan skrin bil domestik yang meningkat 3 kali ganda bil dan ada yang menunjukkan bil untuk bangunan perdagangan yang meningkat 60 kali ganda dari bil sebelumnya yang mencecah RM10,000.

TNB berkata pihaknya mengambil maklum tentang aduan dan keresahan pengguna dan memberi jaminan jika berlaku lebihan caj, jumlah tersebut akan dikreditkan kedalam bil pada bulan berikutnya.