BN Tidak Boleh Berbangga Dengan Kemenangan PRK DUN Rantau

BN Tidak Boleh Berbangga Dengan Kemenangan PRK DUN Rantau

Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, Negeri Sembilan baru-baru ini yang gah diperkatakan sebagai kemenangan besar oleh sesetengah pihak sebenarnya kurang tepat.

Begitu juga dengan hanya membuat andaian bersandarkan kemenangan BN pada tiga PRK iaitu Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyeh dan terbaharu DUN Rantau bukan boleh dijadikan `kayu pengukur’ atau penentu sebenar kekuatan BN atau pudarnya pengaruh serta sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Seorang penganalisis politik bebas, Sahul Hamid Rowther Mohamed Bawa ketika mengulas isu ini berpendapat mengikut pecahan PRK DUN dan Parlimen baru-baru ini PH masih kekal mengatasi BN.

PH memenangi empat kerusi iaitu DUN Sungai Kandis, DUN Balakong, DUN Sri Setia Selangor dan Parlimen Port Dickson manakala BN memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih dan DUN Rantau.

Bersandarkan senario ini, jelas menunjukkan tidak ada kekurangan kerusi yang PH tewas, sebaliknya ini adalah hanya satu `ulang tayang’ yang kalah kekal kalah, yang menang kekal menang.

Katanya, apa yang nak dibanggakan kerana semasa BN bertanding secara bersendirian tanpa pertolongan dan kerjasama PAS pada PRU 13, BN mendapat 10,126 undi .

Pada PRK Rantau baru-baru ini dengan kerjasama PAS, BN mendapat sebanyak 10,397 undi. Bermakna hanya berlaku penambahan 271 undi sahaja.

Begitu juga dengan (Pakatan Rakyat) semasa bergabung dengan PAS pada PRU13 mendapat undi sebanyak 5,513.

Pada PRK Rantau baru-baru ini PKR yang bergabung dalam Pakatan Harapan mendapat 5,887 undi. Perbezaan 374 undi.

Kalaupun ada pertambahan penduduk di satu-satu kawasan DUN namun perkara itu tidak timbul kerana itu adalah hak pengundi.Begitu juga peratusan pengundi yang keluar mengundi.

Lantaran itu Sahul mengucap tahniah kepada kedua-dua parti kerana mengekalkan kedudukan mereka.

Keputusan PRK DUN Rantau menyaksikan Mohamad memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas pakar bius itu hanya memperoleh 5,887 undi.

Dua calon Bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin pula masing-masing mendapat 83 dan 79 undi.

Perlu diingat, walaupun BN bertanding bersendirian, tapi menerusi sokongan PAS, BN beroleh 10,397 undi dengan kelebihan hanya 271 undi sahaja.

Ini berbeza dengan keputusan PRU 13 yang lepas yang menunjukkan calon BN dan calon PKR yang bertanding di DUN Rantau masing-masing meningkatkan sokongannya di kalangan pengundi Rantau.

Misalnya, calon BN yang memperolehi 8,031 undi pada PRU11 berjaya meningkatkan jumlah undinya kepada 10,126 pada PRU13.

Begitu juga, calon PKR yang memperolehi 1,832 undi pada PRU11 mempertingkatkan jumlah undinya kepada 5,513 undi pada PRU13.

Dalam pada itu, peningkatan undi bagi calon PKR jelas membayangkan parti PKR beransur-ansur menembusi dan bertapak dalam kawasan Rantau.

Dari segi majoriti undi pada PRU13, calon PKR mendapat 4,613 dan pada PRK Rantau baru-baru ini ia mendapat 4,510 dan BN pula walaupun bergabung dengan PAS tapi undinya berkurang.

Justeru andaian setengah pihak yang mencanang kononnya BN dapat kemenangan besar pada PRK Rantau adalah kurang tepat.

Namun, memandangkan Rantau merupakan kubu kuat UMNO sejak beberapa tahun yang lepas, khususnya sejak Mohamad Hasan yang umumnya dikenali sebagai ‘Tok Mat’, memasuki gelanggang politik, maka DUN Rantau menjadi hak milik BN.

Dengan itu, BN dijangka terus menguasai DUN Rantau. Lebih-lebih lagi dengan peralihan sokongan pengundi Melayu kepada BN akhir-akhir ini serta kemenangan berturut-turut BN pada PRK Cameron Highlands diikuti Semenyih.

Ini seperti mana juga empat PRK sebelum ini yang dimenangi PH. PH dilihat perlu bekerja lebih kuat di kawasan kubu BN-merujuk kepada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia di Selangor dan Parlimen Port Dickson.

Anggota Parlimen Port Dickson yang baru dipilih Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya semangat muafakat yang dipamerkan dalam Pakatan Harapan telah membawa kepada kepada kemenangan dengan majoriti di luar jangkaan serta mandat yang besar pada Pilihan Raya Kecil parlimen berkenaan.

Keputusan itu juga menyaksikan Pakatan Harapan (PH) memperoleh 70 peratus undi popular mengatasi 48 peratus yang pernah dicapai pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu di kawasan parlimen yang sama, katanya.

“Sekarang kita dapat menawan keyakinan semua kaum, di kawasan majoriti Melayu, di kawasan majoriti Cina, majoriti India dan kelompok kecil masyarakat (Orang) Asli memihak kepada Pakatan Harapan.

“Di dua kawasan Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen Port Dickson (Bagan Pinang dan Linggi) yang sebelum ini PH tewas, pada PRU kali ini pun PH menang bergaya, ada beberapa kawasan yang diperhatikan dulu kawasan majoriti Melayu agak kalah tipis kali ini ditawan dengan majoriti yang besar,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH bagi PRK Port Dickson selepas diumumkan sebagai pemenang.

Pada PRK itu, Anwar diumumkan menang dengan majoriti 23,560 undi menewaskan enam pencabarnya.

Sahul berpendapat dalam menghadapi liku cabaran yang mendatang PH harus bersiap-siaga mengambil iktibar dan pengajaran daripada kekalahan tiga PRK baru-baru ini dengan memberi perhatian utama kepada keluhan dan kos sara hidup rakyat daripada terus bermain politik menyalahkan kerajaan terdahulu.

Pucuk dan barisan pimpinan PH di peringkat pusat dan negeri juga perlu lebih berkomunikasi dan sering turun kelapangan bertemu rakyat melihat dan mengambil perhatian luahan keluh kesah rakyat dengan mentuntaskan segala janji yang telah dibuat dalam manifesto PH.

Sebagai contohnya mengurangkan harga minyak kepada RM1.50 sen seliter bagi para pengguna motosikal 200cc ke bawah dengan menyediakan kaunter minyak khas di bahagian pam stesen minyak (khas untuk motosikal).

Ini penting kerana pengguna motosikal 200cc ke bawah ini merupakan golongan B40 yang juga merupakan majoriti pengundi yang menentukan kepada kejayaan PH dalam mengambil alih pentadbiran negara.

Selain itu PH jangan asyik menyalahkan kerajaan terdahulu sebaliknya terus berusaha dengan memberi fokus dan perhatian serius kepada agenda pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Kongsi Artikel Ini

Facebook Comments