Cakap Tak Serupa Birkin

  •  
  •  
  •  
Reading Time: 7 minutes
Pilihan Raya Kecil (PRK) di Bukit Cameron baru selesai. Satelah Pilihan Raya Umum 14 (PRU) berlangsung telah beberapa kali PRK dijalankan. PRK Seri Setia dan Balakong kerana kematian wakil. Justeru PRK  wajib diadakan. PRK di Port Dickson saya anggap PRK mengada-ngada. Tapi  PRK di Bukit Cameron agak berbeza. Amat berlainan. Di Bukit Cameron  bukan kerana silat langkah putar belit Mat Songel.
Kerusi P078 Bukit Cameron dibatalkan kerana calon yang menang dibuktikan  menjalankan  perbuatan membeli undi.  Ini kesalahan pilihan raya. Khalas.
PRK saperti ini belum pernah terjadi ketika United Malay National Organisation berkuasa. Hegemoni parti tajaan Inggeris ini amat luas hinggakan tipu helah, putar belit dan politik wang menjadi budaya pilihan raya negara  kita ini.
Dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil semenjak United Malays National Organisation mendapat kuasa dari Inggeris – para pengundi telah dididik dengan duit, jamuan makan, hadiah, cabutan bertuah, konsert percuma, tiket umrah dan seribu satu macam  tipu helah untuk mendapat undi.
Dalam PRU12 dan PRU13 banyak kes kesalahan pilihan raya telah dibawa ke mahkamah. Ada kes tipu undi. Ada kes beli undi. Ada kes calon kena sekat. Seribu satu macam kesalahan pilihan raya telah berlaku. Tapi bila kes-kes kesalahan ini masuk ke mahkamah semua ‘tak melekat’ – semua tak ada kes. Mahkamah menjadi tempat ‘mengabeh boreh dan mengabeh duit’.
Kini semua berubah. Bila parti tajaan Inggeris ini hilang kuasa pada 9 May 2018 yang lalu maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru didirikan. Ini badan bebas dalam budaya Malaysia Baru. SPR bukan lagi menjadi barua parti  pemerentah yang berkuasa. Bukti pertama ialah PRK Bukit Cameron.
SPR dalam Malaysia Baru berjanji – apa yang dicakap – itu yang dibikin. Ini budaya baru.
Justeru, SPR dilihat semakin jelas memainkan peranan yang tuntas. SPR semakin berani bersuara untuk menegakkan pilihan raya yang bebas dan adil. Maksud saya – berani bersuara di Bukit Cameron berbanding dengan di PRK Port Dickson.
Di Port Dickson lembaga SPR masih baru dan masih takut-takut. Bayangkan satu dunia telah diberitahu  bagaimana kepala samseng telah datang dan menaja jamuan makan malam ketika kempen sedang berjalan.
Cuba bayangkan  apakah bentuk janji dan apa yang akan dipau oleh kepala samseng ini. Kepala samseng ini telah melabur dana dalam PRK Port Dickson. Pasti satu masa nanti kepala samseng ini akan datang menuai.
Tidak pernah berlaku dalam dunia  ini kepala samseng berminat tentang demokrasi, ketelusan pilihan raya atau hak asasi manusia. Mustahil di Port Dickson berbeza. Jika tidak yakin apa yang saya tulis ini sila tanya Guru Nanak.
Maksud saya ketika PRK Port Dickson SPR masih belum begitu berani bersuara. Malah warga dan kaum kerabat BERSIH juga masih takut takut. Kritikan dan siasatan terhadap jamuan makan malam tajaan kepala samseng tidak diterus dituntas dan dibincangkan secara panjang luas. Ini kelemahan awal lembaga SPR dan kaum kerabat  BERSIH.
Berbanding PRK di Bukit Cameron. Baju calon dan kesilapan calon masuk bilik mengundi pun di bangkit dan diselar hangat hingga calon minta maaf. Mata SPR memerhati dengan rapi. Ini tanda keberanian SPR yang makin menonjol. Amin.
Sabenarnya ada lagi satu pekara yang tersorok dan terpendam di Port Dickson atau di Bukit Cameron atau dimana-mana PRK yang  telah berlangsung. Pada hemat saya perkara ini amat amat penting. Perkara ini lebih utama dari siapa calon atau berapa ramai jumlah pengundi atau parti mana yang bertanding.
Perkara yang saya maksudkan ialah peranan pemberita, wartawan dan pengarang akhbar. Saya berharap Estate ke Empat ini wajib memainkan peranan mereka.
Minggu lalu saya telah melakar tentang sejarah estate ini, saya juga telah membuktikan betapa penting peranan mereka. Pengamal media wujud hasil tamadun moden. Mereka diwujudkan bersama kemajuan teknoloji.  Setakat ini pada pemerhatian saya dalam tamadun moden jika estate keempat ini tidak memainkan peranan maka tamadun  akan tempang.
Contoh tamadun tempang yang terbaik sekali ialah negara kita – Malaysia. Semua bentuk dan prosedur moden wujud. Kita ada elektrik. Jalan raya ada. Internet wujud. Tapi masih tempang.
Tempang maknanya tidak ada budaya ketelusan. Keintelektuan yang amat rendah. Pembudayan konsumer yang rakus. Pemikir yang cetek. Rasuah masih berleluasa. Sikap benci membenci antara bangsa-bangsa masih tebal. Pandangan karut lagi marut mendapat tempat. Pandangan rasional dan masuk akal mendapat tohmahan dan nista.
Dalam masa yang sama Estate Pertama dan Kedua menjadi bertambah karut. Tidak ada dakwa dakwi terhadap parangai dan kelakuan mereka. Mereka  bersultan di Sharaton dan beraja di Hilton. Ini contoh pembudayaan yang tempang.
Dalam negara yang tempang maka budaya bodek menjadi penjahit dan pengikat perjalanan tamadun. Asas tamadun bukan lagi keilmuan. Bukan lagi ketrampilan intelek. Bukan fikrah yang penting. Tapi kebijaksanan membodek.
Justeru mari kita kembali ke PRK Bukit Cameron.  Ini untuk membuktikan hujah saya.
Ketika kempen berjalan di Bukit Cameron dihebohkan pengundi Orang Asli. Dilaporkan tentang bukit-bukit yang ditarah. Dilaporkan penerokaan haram. Dilaporkan ketidakpuasan warga FELDA.
Semua ini perkara tepat yang ditimbulkan oleh media dan pemberita.  Semua ini menjadi agenda kempen. Saya amat  bersetuju  dan selesa membaca perkara-perkara yang ditimbulkan oleh pengamal media ketika kempen berjalan.
Tapi sayangnya semua berasaskan ‘touch n go’ – usik dan lesap.
Untuk saya PRK amat-amat penting kerana ketika kempen PRK berjalan  fokus seluruh negara hanya ke satu kawasan bukan ke seluruh negara.
PRK Port Dickson semua mata menuju ke Telok Kemang. Begitu juga di Bukit Cameron. Semua mata memandang  ke atas bukit bukau Banjaran Titiwangsa. Kerana fokus anak semua bangsa hanya ke satu wilayah maka pada hemat saya inilah masa untuk mendapat pencerahan  yang melimpah ruah.
Estate Keempat wajib bijak melihat peluang PRK ini. Inilah masa dan ketika untuk pengamal media mengusulkan pelbagai bentuk pencerahan.
Pencerahan tentang Orang Asli. Pencerhan tentang penerokan tanah haram. Pencerahan tentang pendatang haram. Peranan samseng dalam  meneroka hutan.  Makna dan tanda pemanasan dunia.
Bukit Cameron yang pada satu ketika dulu sejuk dan nyaman kini telah panas dan rapuh. Ini persoaan ekologi. Ini persoalan alam sekitar. Tapi Estate Keempat hanya usik dan lesap. Mereka hanya buat laporan berbentuk touch n go.
Bayangkan ketika berkempen di Bukit Cameron media kita boleh membuat  laporan mendalam tentang Orang Asli. Membuat laporan  mendalam tentang hutan dan ekologi. Membuat laporan tentang makna pembangunan. Apa kaitan pembangunan dengan alam sekitar. Dan ke mana arah tujuan pembanguan manusia moden ini.
Saya amat yakin semua mata, semua hati – satu Malaysia akan mengarah ke Bukit Cameron. Selama dua minggu berkempen pasti kuliah pencerahan dapat dijalankan oleh media.
Tapi ini tidak berlaku. Pusing punya pusing, laporan Najib datang berkempen. Pusing punya pusing, laporan Mahathir datang berceramah. Buka punya buka, kita terbaca laporan Mat Hassan datang berkempen. Poorah.
Ada laporan yang mengusik-usik hubungan dan kerjasama Parti Islam dengan United Malay National Organisation. Ini juga bukan laporan  yang mendalam. Ini laporan  sambil lewa. Ini laporan  yang tidak menaikkan  mutu pemikiran tentang politik Melayu-Islam.
Kalau pengamal media kita bijak  PRK akan menjadi ruang untuk membuka wacana. Juga untuk media menangkap pembaca muda. Untuk menjerat pendatang baru yang belum kenal politik. Inilah masa dan ketika yang baik  untuk mendidik anak semua  bangsa tentang apa dia makna dan tanda pemanasan dunia. Apa itu ‘global warming’.
Kesah Bukit Cameron tidak sejuk lagi telah diketahui umum. Tetapi tidak ada satu penganalisaan yang tuntas dari estate keempat yang dapat memberi pencerahan. Tidak ada pakar ekologi yang  mendapat ruang media  untuk memberi pandangan. Tidak ada aktivis alam sekitar memberi pendapat.
Balik balik pandangan politikus. Sekali lagi saya nyatakan bahawa para politikus fikiran mereka tidak panjang. Mereka hanya ada keupayaan berfikir untuk lima tahun. Pencemaran alam telah berjalan beratus tahun. Bumi manusia telah wujud berbilion tahun. Alam ini adalah hasil Big Bang – ledakan besar. Semua ini di luar keupayan fikrah politikus. Amin.
Pencerahan ini bertujuan untuk memberi maklumat kepada anak semua bangsa bahawa panas atau sejuknya Bukit Cameron ini adalah tugas kita bersama. Ini bukan hanya tugas Tok Batin Chenoreng atau YB yang baru dipilih.
Pengamal media juga harus menulis dengan jelas dan terang. Mereka tidak perlu membodek Pakatan Harapan. Jika calon Pakatan di Bukit Cameron yang telah berkali-kali kalah – media wajib mentertawakan calon Pakatan.
Atau menyelidik kenapa Si Kalah ini bertanding lagi. Pasti ada rahsia di belakang rahsia. Ini tugas suci Estate Keempat.
Menilai, membongkar dan mengkaji kenyataan dari calon yang bertanding. Apa yang tersorok dalam kata-kata ‘… Orang Melayu tak beli kueh dari  Orang Asli…’ atau apa yang difahami dengan kata-kata ‘… dulu dia polis kenapa dia  tak tangkap Najib..’
Semua ini tugas suci  Estate Keempat. Kalau bukan sidang pengarang yang menulis pasti ada sosok lain yang sedia mencabar pandang dan kata-kata ini.
Saya percaya Estate Keempat ini boleh memainkan peranan yang penting. Tapi pada masa kini ianya masih lagi terperangkap dalam budaya bodek.
PRK P078 Bukit Cameron telah mula membuktikan bahawa SPR cakap serupa bikin. Tahniah SPR.
Masanya telah sampai untuk media mengelodak para politkus Pakatan Harapan. Media wajib menenyeh para  Menteri Pakatan agar mereka cakap serupa bikin.
Jangan beri peluang Rosmah ketawa dan berkata ‘… semua menteri Pakatan pandai  cakap tapi tak serupa Birkin..’  (TT)

Tulisan ini merupakan nukilan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pendirian Independent