amp domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/independ/public_html/wp-includes/functions.php on line 6170gotmls domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/independ/public_html/wp-includes/functions.php on line 6170KUALA LUMPUR, 24 Dis (BERNAMA) | Keputusan sama ada bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, dilepaskan atau disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak akan diketahui 3 Feb depan.
Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu, selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan, pada akhir kes pembelaan hari ini.
Mohd Nazlan juga mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua pihak atas hujahan masing-masing.
“Saya tetapkan keputusan bagi kes ini hari Rabu (3 Feb) jam 9.30 pagi,” katanya.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, manakala peguam Datuk Salehuddin Saidin mengetuai pasukan pembelaan.
Perbicaraan kes itu bermula pada 8 Okt tahun lepas, dengan pihak pendakwaan memanggil 22 saksi untuk memberi keterangan.
Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuklah bekas Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) Mohd Zaid Abdul Jalil; dan bekas Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) Ikhwan Zaidel.
Pada 3 Sept lepas, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil enam saksi memberi keterangan, dalam prosiding yang berlangsung selama tiga hari pada 17 dan 19 Ogos, serta 3 Sept lepas, dengan Mohd Isa dipanggil sebagai saksi pembelaan pertama.
Saksi lain yang dipanggil memberi keterangan antaranya bekas Setiausaha Mohd Isa Zuraida Ariffin @ Shaari, dan bekas Pegawai Khas Mohd Isa Kamar Bashah Shariff.
Mohd Isa, 71, didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan, iaitu ahli lembaga GAPSB, menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.
Setiap pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 16 Jun lepas, Mahkamah Tinggi memerintahkan Mohd Isa yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan membela diri atas sembilan pertuduhan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, Mohd Isa dilepaskan dan dibebaskan daripada satu pertuduhan pecah amanah (CBT), berhubung pembelian hotel itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu.
PUTRAJAYA | Mahkamah Majistret di sini mengeluarkan perintah reman antara tiga dan tujuh hari terhadap 23 individu termasuk anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan negara.
Menurut laporan BERNAMA, mereka yang terdiri dari 19 lelaki dan empat wanita tiba di perkarangan mahkamah kira-kira 10 pagi dipakaikan dengan baju lokap SPRM berwarna jingga dan bergari.
Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin mengeluarkan perintah reman terhadap 23 individu yang berumur antara 21 dan 55 tahun itu selepas mendengar permohonan SPRM dalam prosiding yang berlarutan kira-kira dua jam setengah.
Dua belas daripada mereka direman selama tujuh hari, sembilan lagi direman lima hari manakala dua lagi masing-masing direman tiga serta empat hari.
Menurut sumber SPRM, 14 individu yang direman itu merupakan penjawat awam manakala selebihnya orang awam.
Difahamkan anggota Imigresen yang direman itu bertugas di Ibu Pejabat Imigresen di sini serta Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Sumber itu memaklumkan mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan khususnya di KLIA, KLIA2 dan Bangunan Sultan Ismail (BSI) Johor Bahru, Johor.
Reading Time: 2 minutes
KUALA LUMPUR (Bernama) | Semasa isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) heboh diperkatakan pada 2015, ramai orang termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta pegawai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) memberi tumpuan mengenai idea untuk melindungi Datuk Seri Najib Tun Razak, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata selain Jho Low, pegawai PMO yang turut memberi idea melindungi bekas perdana menteri itu ialah Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan dan Datuk Amhari Efendi Nazarudin.
Ahmad Farid bertanggungjawab terhadap imej Najib pada masa itu manakala Amhari merupakan pegawai khas Najib.
Perkara ini dinyatakan saksi pendakwaan kesembilan itu semasa pemeriksaan semula oleh ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Shahrol Azral berkata pegawai Kementerian Kewangan (MOF) juga diingatkan dengan idea “perlu melindungi PM”.
“Kebanyakan mereka yang pernah saya berinteraksi, termasuk Datuk Seri Hasan Arifin yang merupakan pengerusi PAC pada masa itu, memberi tumpuan kepada idea untuk melindungi perdana menteri (ketika itu),” katanya.
Semasa disoal lebih lanjut oleh Sri Ram sama ada beliau mengenali perunding perhubungan awam (PR) Najib, Paul Stadlen, saksi itu berkata “ya”.
“Dia diperkenalkan kepada saya oleh Jho Low. Dia adalah pegawai PR bos (merujuk kepada Najib). Dia menguruskan PR dan persepsi awam. Saya berjumpa dengannya di Putrajaya Marriott Hotel. Paul juga tegas ketika saya mengadakan perbincangan singkat dengannya mengenai melindungi PM,” kata Shahrol Azral.
Menjawab soalan lain oleh bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu mengenai perkara apa yang mereka lindungi Najib, Shahrol Azral berkata ia adalah mengenai reputasi yang terjejas kerana akhbar Wall Street Journal, menyiarkan berita berhubung isu 1MDB.
Dilaporkan sebelum ini bahawa sebelum pendengaran PAC pada 2015, satu pertemuan berlangsung dengan objektif untuk melindungi PM diadakan di rumah Farid di Sri Hartamas dan antara yang hadir adalah anggota BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.
Sri Ram: Adakah keterangan anda kepada PAC dipengaruhi oleh idea ini untuk melindungi PM?
Shahrol Azral: Sudah tentu. Apa sahaja mengenai nama Jho Low (dalam laporan) telah dikeluarkan dan tanggungjawab untuk semua keputusan diletakkan di bahu saya.
Sri Ram: Jadi anda akan dipersalahkan?
Shahrol Azral: Ya.
“Seperti kata orang Melayu ‘kambing hitam’, “ katanya.
Shahrol Azral berkata beliau tidak mendapat faedah daripada wang yang didakwa diambil daripada dana negara itu.
Beliau bagaimanapun berkata, berdasarkan dokumen yang ditunjukkan kepadanya di mahkamah dan semasa siasatan, Najib, adalah antara yang mendapat faedah bersama Jho Low, pengarah eksekutif 1MDB Casey Tang, peguam 1MDB Jasmine Loo, pengasas bersama PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid dan rakan-rakan Jho Low yang lain.
Terdahulu, semasa pemeriksaan balas, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata Shahrol Azral boleh didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah amanah (CBT) semasa menjadi Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB.
Namun Shahrol Azral, tidak bersetuju.
Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin.
Reading Time: < 1 minuteKUALA LUMPUR | Mahkamah Tinggi di sini hari ini mensabitkan seorang remaja lelaki membunuh 23 orang yang mati dalam kebakaran di sekolah Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat pada tahun 2017.
Remaja itu kemudian diarahkan ditahan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Remaja itu, yang berpakaian kemeja lengan panjang dan seluar hitam, menangis ketika hakim Datuk Azman Abdullah menyampaikan keputusan itu.
Dia dilihat mengesat air mata ketika hakim memperincikan penjatuhan hukumannya.
Ketika mensabitkan pemuda itu, Azman mengatakan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan.
“Oleh itu, mahkamah mendapati bahawa tertuduh telah melakukan pembakaran,” katanya.
KOTA KINABALU | Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada 21 Ogos sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai adalah wajar.
Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar penjelasan lebih empat jam menerusi hujahan peguam mewakili Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri, para pemohon serta Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan tiga yang lain, selaku responden.
Beliau turut membenarkan permohonan peguam Tengku Fuad Ahmad untuk menyerahkan jawapan bertulis sebagai jawapan kepada hujahan lisan oleh peguam mewakili para responden.
Mahkamah itu mendengar perkara berkaitan ‘boleh diadili” (tertakluk boleh dibicarakan di mahkamah) berikutan terdapat permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN yang dikemukakan Musa dan 32 ADUN yang menyokongnya.
Mereka menamakan Tun Juhar sebagai responden pertama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden ketiga dan Kerajaan Sabah sebagai responden keempat.
Tengku Fuad ketika membuat permohonan untuk menyerahkan jawapan bertulis, menegaskan bahawa peguam mewakili para responden telah memfailkan hujahan bertulis mereka hanya pada tengah hari 14 Ogos dan bukannya pada 10 Ogos seperti ditetapkan mahkamah.
Katanya beliau perlu menjawab hujahan dikemukakan seorang daripada peguam mewakili responden, Chung Jiun Dau, yang tidak memenuhi arahan Shim untuk menjelaskan dari segi ‘boleh diadili” akan tindakan Tun Juhar membubarkan DUN.
“Kami (peguam mewakili kumpulan pemohon) terkejut apabila peguam mewakili responden berhujah bahawa 33 Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan tidak mempunyai locus standi untuk mempersoalkan kuasa responden pertama (Tun Juhar) dalam membubarkan Dewan Undangan Negeri,” katanya.
— Bernama
KUALA LUMPUR | Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendapati bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersalah terhadap kesemua 7 pertuduhan salah guna kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC), sebuah anak syarikat 1MDB.
Beliau menghadapi hukuman sehingga 20 tahun penjara, denda dan sebatan. Bagaimanapun beliau akan terkecuali daripada hukuman sebatan berdasarkan kepada faktor usianya 67 tahun.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membaca keputusan berkata pihak pembelaan gagal mewujudkan keraguan yang munasabah dan pihak pendakwaan telah berjaya mewujudkan kes melebihi keraguan yang munasabah.
Keputusan hari ini adalah sebahagian dari puluhan tuduhan lain yang sedang dihadapi oleh Najib termasuk tuduhan salah guna kuasa dana 1MDB bernilai RM2.28 bilion, meminda laporan audit dan pengubahan wang haram milik SRC sebanyak RM27 juta.
PUTRAJAYA | Bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi gagal dalam rayuan memohon menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah jenayah kepada 3 tuduhan selepas ditolak sebulat suara oleh mahkamah.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Yaacob Md Sam berpandangan tiada kesalahan yang membolehkan rayuan dalam isu itu.
Dua hakim lain ialah P. Ravinthran dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin.
Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk, hadir di mahkamah, mengemukakan rayuan terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah pada 8 November 2019 yang menolak permohonannya untuk menggabungkan 12 tuduhan pecah amanah jenayah atas dana milik Yayasan Akalbudi menjadi tiga.
Hakim Sequerah membuat keputusan itu setelah mendapati bahawa 12 pertuduhan terhadap Zahid adalah jelas dan tertuduh dapat memahaminya untuk mempersiapkan pembelaannya, sehingga tidak menimbulkan masalah prasangka.
Selain itu, dia memutuskan bahawa Seksyen 153 (2) Kanun Prosedur Jenayah tidak mewajibkan pihak pendakwaan menggabungkan tuduhan.
Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini, Zahid mengaku tidak bersalah atas sejumlah 47 pertuduhan, 12 daripadanya adalah untuk pecah amanah jenayah, lapan untuk rasuah dan 27 untuk pengubahan wang haram yang melibatkan puluhan juta ringgit kepunyaan Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah akan disambung pada 3 Julai.
PETALING JAYA | Mahkamah Majistret di sini mendenda seorang pengurus penjualan berusia 44 tahun RM3,100 atas insiden di mana dia menjerit perkataan “idiot (bodoh)” terhadap seorang polis di sekatan jalan raya Ops Covid-19 lebih dari sebulan yang lalu.
Tong Poh Kim sebelumnya telah meminta dibicarakan, tetapi mengubah pengakuannya ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah di sini pada hari Rabu (20 Mei).
Dia mengaku menghina Kpl Izuan Hasim Nor Hamzah dengan menggunakan perkataan “bodoh” di Jalan Persiaran Surian pada jam 9.40 pagi 31 Mac.
Tuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 membawa denda maksimum RM100 jika disabit kesalahan.
Tong juga mengaku bersalah atas tuduhan kedua menghalang Kpl Izuan daripada menjalankan tugasnya di tempat dan waktu yang sama.
Tuduhan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan boleh membawa hukuman penjara hingga dua tahun, denda hingga RM10,000, atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.
Sebelumnya, peguam Tong, Datuk Suraj Singh meminta mahkamah menjatuhkan denda ke atas anak guamnya dan bukan hukuman penjara dengan alasan bahawa ibunya berada dalam keadaan koma sejak 27 Februari kerana strok.
“Pelanggan saya menyesal dan meminta maaf kepada semua orang, termasuk polis atas kejadian itu.
Pengakuan bersalahnya juga telah menjimatkan masa dan kos mahkamah daripada terpaksa menjalani perbicaraan, ”katanya.
Suraj menambah bahawa Tong kecewa secara emosional dan mental kerana keadaan ibunya dan terperangkap dalam lalu lintas selama dua jam menyebabkan dia bertindak seperti yang dilakukannya pada hari kejadian.
“Tidak ada kekerasan dalam kes ini kecuali ungkapan ‘bodoh’ yang diucapkan oleh tertuduh,” kata Suraj, sambil menambahkan bahawa Tong adalah pelaku pertama kali.
Reading Time: 2 minutes
KUALA LUMPUR, 11 Mac — Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa wang yang masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak tidak semestinya merupakan suatu kesalahan kecuali ia dibuat dengan niat dan pengetahuan.
Bagaimanapun, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, 52, berkata adalah menjadi satu kesalahan jika wang berkenaan dibelanjakan.
“Aliran masuk wang tidak semestinya suatu kesalahan kecuali ia dibuat dengan pengetahuan dan juga dengan niat (mala fide), tetapi jika dia membelanjakan wang berkenaan, maka ia adalah satu kesalahan,” katannya yang juga merupakan bekas Timbalan Pendakwa Raya.
Dzulkifli berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas perdana menteri itu.
Pada prosiding sebelum ini, Najib, 67, mengaku bahawa beliau telah berbelanja berpuluh juta ringgit wang yang dikreditkan ke dalam akaun bank peribadinya antara 2014 dan 2015 dengan berpendapat ia dana untuk Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dimilikinya.
Bagaimanapun, ahli Parlimen Pekan itu mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak tahu wang tersebut adalah dana SRC International.
Kepada soalan lain, Dzulkifli juga berkata suruhanjaya itu telah mencadangkan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil; pengarah syarikat, Datuk Suboh Md Yassin dan dua lagi pengarah SRC International lain untuk didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
“Saya tidak ingat siapa lagi pengarah berkenaan. Saya juga tidak tahu mengenai hasil cadangan itu sehingga ke hari ini,” kata saksi pembelaan ke-18 itu.
Terdahulu, Dzulkifli menafikan cadangan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram bahawa beliau ‘melindungi’ keputusan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk menutup kes derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dana SRC International membabitkan Najib.
Sementara itu, saksi pembelaan ke-19, iaitu seorang pegawai SPRM, Regjit Singh memberitahu mahkamah bahawa beliau dan pasukannya telah dua kali merekodkan kenyataan daripada Nik Faisal pada Oktober 2015.
Regjit berkata kenyataan itu direkodkan daripada Nik Faisal yang ketika itu ditemani peguam Selva Mookiah di sebuah hotel di Jakarta pada dua hari berasingan dalam bulan Oktober, tahun yang sama.
Terdahulu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 21 April depan bagi kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis manakala 12 Mei depan ditetapkan untuk hujahan lisan.
Mahkamah menetapkan tarikh tersebut selepas Muhammad Shafee memberitahu bahawa pihak pembelaan menutup kesnya hari ini.
Najib berdepan tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana SRC International sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan.
— BERNAMA
KUALA LUMPUR, 19 Feb — Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa seorang ahli perniagaan pernah mengganggu dan mengugut pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya mempercepat kelulusan projek solar hibrid membabitkan sekolah luar bandar Sarawak kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.
Tan Sri Dr Madinah Mohamad, 63, berkata ketika menyandang jawatan Ketua Setiausaha (KSU) di KPM, beliau menerima aduan melalui pegawai khasnya bahawa terdapat seorang lelaki telah mengganggu pegawai-pegawai di Bahagian Perolehan dan Pembangunan KPM.
“Nama orang itu adalah Rayyan. Beliau bercakap kasar dan mengugut pegawai-pegawai ini sekiranya tidak menyegerakan projek solar hibrid itu, beliau akan mengadu kepada perdana menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).
“Rayyan juga menyatakan bahawa beliau ingin berjumpa dengan KSU dan pegawai saya minta bantuan daripada saya untuk jumpa Rayyan kerana mereka tidak tahan lagi dengan ugutan dan juga kata-kata yang kasar daripada Rayyan,” katanya yang turut memaklumkan bahawa Rayyan tidak pernah mengugut beliau sebagaimana lelaki itu mengugut pegawai KPM lain.
Madinah berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kader dalam perbicaraan kes rasuah isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkaitan projek solar itu.
Rayyan, atau nama sebenarnya Rayyan Radzwill Abdullah, merupakan rakan kongsi Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin.
Madinah, yang bersara pada 2 Sept 2016, berkata selain Rayyan, beliau sering menerima panggilan telefon dan mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor berhubung urusan perolehan projek solar hibrid.
“Datuk Rizal dan Rayyan saling lengkap-melengkapi dalam mengemukakan maklumat kepada saya dan saya menganggap bahawa mereka benar-benar ‘in touch’ dengan perdana menteri ketika itu (Najib). Saya pun berhati-hati dalam memberi sebarang jawapan kepada Rayyan sepanjang saya berkomunikasi dengannya,” kata saksi itu.
Sementara itu, semasa pemeriksaan semula oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pendakwaan, Madinah berkata beliau tidak pernah menerima sebarang wang daripada Jepak Holdings, Saidi, Rizal, Rayyan atau tertuduh membabitkan projek solar.
Menjawab soalan Sri Ram mengapa beliau tidak menasihati Najib berkaitan projek itu, Madinah berkata sebarang komunikasi mengenainya, sama ada isu atau daya maju projek itu telah disampaikan olehnya sebagai KSU kepada menteri.
“Saya kemudian mendapatkan nasihat menteri dan beliau berkata beliau akan memaklumkannya kepada PM (Najib).
“Kami juga memerlukan lebih banyak masa untuk menilai cadangan itu, dan kami memerlukan lebih banyak maklumat daripada Jepak untuk penelitian terperinci seperti pecahan keperluan kewangan, skop projek itu dan konsultan yang ingin diupah Jepak bagi mengawasi projek itu serta banyak lagi perkara berkaitan yang diperlukan Kementerian Kewangan sebelum projek itu boleh diluluskan.
“Saya telah memaklumkan KPM beberapa kali mengenai keperluan ini dan saya tidak boleh melangkau sempadan dan pergi terus kepada perdana menteri. Saya tidak boleh memutuskan rantaian perintah,” kata Madinah.
Sri Ram: Dalam perkhidmatan awam, adakah anda mengatakan bahawa rantaian perintah tidak terputus?
Madinah: Ya, betul.
Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya di antara Jan 2016 dan 7 Sept 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.
— BERNAMA