Koronavirus: FAM Tangguh Liga Malaysia

Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA | Ekoran wabak koronavirus, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) telah memutuskan untuk menangguhkan kesemua perlawanan saingan Liga Malaysia 2020 berkuatkuasa Isnin ini (16 Mac 2020).

Keputusan itu turut membabitkan saingan liga amatur kelolaan Amateur Football League (AFL) serta pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) kelolaan FAM.

Hasil keputusan dicapai secara perbincangan bersama dengan Rakan Kongsi Liga, wakil Institut Sukan Negara (ISN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan penaja di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Presiden FAM dan MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, pihaknya hanya membenarkan perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier berlangsung pada minggu ini tanpa penyokong sebelum menangguhkan aksi domestik sehingga tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

“Berdasarkan keputusan Mesyuarat Khas hari ini, perlawanan keempat CIMB Liga Super, Liga Premier, Piala Belia dan MPFL 2020 yang dijadualkan berlangsung pada hari ini, Sabtu dan Ahad akan diteruskan namun tanpa penyokong di stadium susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini,” katanya.

Beliau juga berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama termasuk pengendali liga sosial sebagai usaha menangani isu serius iaitu wabak COVID-19 yang semakin merebak dalam negara.