ULASAN | Negara kita baharu sahaja usai menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan ke-62. Tanpa mengira kaum, agama dan budaya semuanya berpeluang menyambut hari yang penuh bermakna ini. Pelbagai program diatur bagi meraikan ‘hari kebebasan’ ini yang bertemakan Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.
Sesetengah orang beranggapan perjuangan kemerdekaan negara kita unik kerana tanpa pertumpahan darah, kemusnahan harta benda atau revolusi bersenjata. Memang itulah yang selalu dijaja dan diuar-uarkan bagi menggambarkan betapa hebatnya kita ‘menghalau’ penjajah hanya melalui mata pena. Dengan erti kata lain, ‘menghalau penjajah’ dalam suasana aman. Sangat hebat!
Tetapi adakah benar begitu? Atau, sebahagian fakta sejarah sengaja dipadamkan bagi menggambarkan perkara yang harmoni sahaja? Barangkali juga ada agenda ingin menjunjung kebaikan dan ‘kemurahan hati’ penjajah British seperti yang terkandung dalam Piagam Atlantik 1945.
Andai istilah ‘revolusi’ menjadi sandaran, saya agak cenderung membahagikan kepada dua iaitu, secara revolusi bersenjata dan revolusi mental.
Kenang pejuang-pejuang bergadai nyawa
Ada pun revolusi bersenjata itu dominan sejak kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511 di tangan Portugis hingga menjelang Perang Dunia Kedua. Sultan Mahmud Syah dan Laksamana Hang Nadim beberapa kali mengetuai angkatan tentera dari Johor menyerang Portugis di Kota Melaka. Setelah Melaka jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1641, perjuangan kesultanan Johor untuk membebaskan Kota Melaka masih diteruskan. Lebih menarik lagi ia melibatkan beberapa kerajaan di Alam Melayu yang lain khususnya Kesultanan Aceh.
Cara ini berterusan hingga pertapakan awal British di Pulau Pinang pada 11 Ogos 1786. Francis Light sebagai “Gurnadur’ atau Penguasa di Pulau Pinang menuduh pejuang-pejuang Kedah termasuklah Sultan Abdullah sebagai lanun. Hal yang sama juga berlaku ketika pendudukan Siam di Kedah antara tahun 1821 – 1842. Tunku Abdullah ibn Sultan Ahmad Tajuddin, Tunku Kudin, Tunku Long Putih, Tungku Muhammad Saad, Panglima Mawar, Panglima Tam dan Tok Mo Ris adalah pejuang tersohor yang rela bekorban nyawa demi tanah airnya. Tidak terkecuali Perang Naning yang dipimpin oleh Penghul Dol Said yang juga meragut banyak nyawa pada tahun 1831 dan 1832.
Seterusnya, gerakan kemerdekaan ini berterusan setelah pihak British campur tangan dalam hal ehwal Negeri-negeri Melayu. Di Perak sekitar tahun 1875, bangkit pejuang seperti Dato Sagor, Dato Maharaja Lela Pancung Tak Bertanya, Pandak Indut, Ngah Jabor dan Si Putum yang berjaya menamatkan riwayat J.W.W. Birch, Residen pertama Perak. Sekalipun misi membunuh itu berjaya, mereka terpaksa membayar dengan nyawa sendiri. Si Putum dihukum gantung pada 20 Mei 1876 di Bandar Baru, manakala Dato Maharaja Lela dan Dato Sagor pada 20 Januari 1877 di Matang.
Kemudian, gerakan bersenjata ini beralih ke Pahang. Antara tahun 1891 – 1895, muncul pejuang kemerdekaan seperti Abdul Rahman bin Imam Md. Noh (Dato Bahaman Orang Kaya Semantan), Tok Gajah (Imam Perang Indera Gajah Pahang), Mat Kilau, Tok Muda Dris, Panglima Raja Awam Sahar, Panglima Besar Majid Kuala Kepong, Mamat Kelubi, dan Penghulu Mat Latif Bentung.
Sementara di Kelantan pula antara yang tersohor ialah Hj Mat Hassan bin Panglima Munah atau Tok Janggut dan Tok Khatib Abu Bakar. Kedua-dua tokoh ini terkorban bersama ratusan petani di Pasir Puteh pada 24 Jun 1915. Di Terengganu pula, gerakan kemerdekaan ini diketuai oleh Haji Abdul Rahman Limbong yang mendapat sokongan Tengku Ngah Omar bin Tengku Abdul Rahim, Tengku Nik Maimunah binti Sultan Zainal Abdin III, Lebai Deraman, Khatib Bakar Cinting, Lebai Deraman (Tok Janggut) dan Penghulu Omar. Pertempuran pada 23 Mei 1928 di Padang Kacong, Telemong yang mengakibatkan 12 orang terkorban termasuklah Tok Janggut.
Inilah cara revolusi bersenjata gerakan menuntut kemerdekaan negara yang tidak wajar disisihkan. Sekalipun ‘gagal’ menggempur dan menghalau penjajah dari Tanah Melayu, perjuangan mereka perlu diiktiraf dan dihargai oleh generasi hari ini. Sekalipun darah yang mengalir itu adalah pejuang-pejuang Melayu, namun perlu difahami ketika itu ‘rakyat’ asal adalah orang Melayu. Jadi, sudah tentulah yang bangkit memperjuangkan kebebasan tanah airnya terdiri dari orang Melayu.
Ada pun cara ‘revolusi mental’ dan sangat dibanggakan itu memang berpaksikan mata pena. Sama ada dipelopori oleh golongan agama seperti Shaikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh al-Hadi, persatuan-persatuan Melayu, tokoh-tokoh Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) seperti Ibrahim Hj Yaacob, Muhammad Yassin Maamor, Harun Aminurrashid dan Ahmad Kamal, dan golongan aliran Inggeris khususnya lepasan Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) adalah lanjutan daripada perjuangan fasa revolusi bersenjata. Bagi saya, jika sebelum ini senjatanya adalah parang, tombak, keris dan senapang, kini generasi pejuang seterusnya mengubah strategi kepada penggunaan pena dan diplomasi. Dan, cara ini yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berjaya mencapai matlamat membebaskan tanah air daripada penjajahan pada 31 Ogos 1957.
PKM bukan pejuang kemerdekaan sebenar
Namun, dalam kekalutan tinta memerah idea, terselit gerakan revolusi bersenjata iaitu Parti Komunis Malaya (PKM) yang mula bertapak di Tanah Melayu seawal 1930-an. Secara peribadi, saya tidak menafikan mereka berjuang menuntut kemerdekaan daripada pihak British, tetapi bertujuan membentuk Republik Komunis Malaya. Malahan kepemimpinan PKM juga terdiri daripada orang Melayu seperti Abdullah CD, Musa Ahmad, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Abu Samah Kassim dan Ibrahim Chik. Namun, untuk mengiktiraf mereka sebagai pejuang tulen kemerdekaan adalah tidak tepat. Hal ini disebabkan Rundingan Baling 1955 jelas menawarkan pilihan ke arah perdamaian, tetapi PKM menolak. Sepatutnya PKM mengiktiraf kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu bukannya meneruskan gerakan revolusi bersenjata dan mengancam keselamatan negara.
Apakah wajar kita menyanjung PKM sebagai pejuang kemerdekaan sedangkan selepas merdeka banyak anggota keselamatan yang cedera dan terkoban akibat kekejaman mereka? Situasi ini berterusan sehingga berlaku pembubaran PKM melalui Rundingan Damai Hattyai pada 2 Disember 1989. Justeru, tidak adil untuk mengiktiraf PKM sebagai pejuang kemerdekaan sebenar, walaupun mereka pernah terlibat dalam gerakan menuntut kemerdekaan.
Terhutang budi
Rangkap pantun ada menyebut, ‘budi yang baik dikenang jua’. Apa yang kita nikmati pada hari ini adalah keringat dan pengorbanan pejuang-pejuang terdahulu. Oleh sebab majoriti rakyat Malaysia hari ini lahir selepas merdeka dan boleh dianggap berada dalam situasi selesa, kita banyak terhutang budi kepada mereka yang banyak berkorban demi mempertahankan tanah air. Kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan suburnya pelbagai budaya pada hari ini adalah hasil semangat berani pejuang-pejuang terdahulu.
Tanpa mengira bangsa, agama dan kaum, marilah kita bersama-sama kembali menghayati dan mengenang jasa mereka. Janganlah kita gadaikan perjuangan mereka untuk kepentingan politik sempit hingga membangkitkan sentimen perkauman. Jauh sekali memanipulasi fakta sejarah tanpa membawa bukti kukuh hingga mengelirukan banyak pihak. Paling penting, semua pihak perlu insaf dan mengakui sejarah panjang perjuangan menuntut kemerdekaan selama 467 tahun itu.
AL-FATIHAH UNTUK PEJUANG-PEJUANG KEMEDEKAAN DAN SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KEMERDEKAAN KE-62 KEPADA SEMUA RAKYAT MALAYSIA.
IBRAHIM AHMAD
UNIKL RCMP, IPOH, PERAK.
Ibrahim Ahmad adalah pensyarah di UNIKL Royal College of Medicine. Tulisan di atas adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pendapat rasmi pihak Independent.