Kenyataan Media: Hubungan Istana Dan Kerajaan

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

1. Hubungan baik antara istana dan kerajaan yang memerintah adalah kritikal dalam menjamin wujudnya sebuah pentadbiran yang stabil dan cekap demi kepentingan rakyat.
2. Perkembangan terbaru jelas menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan pimpinan Perikatan Nasional lebih bersedia untuk berhadapan dengan istana dari mencari jalan untuk mengelakkan pertembungan terbuka.
3. Lebih aneh lagi Perikatan Nasional enggan akur dengan seruan istana yang rata-rata mahukan tuntutan dan semangat perlembagaan dipatuhi.
4. Anjuran Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen bersidang segera diputarbelit. Ingatan Raja-Raja Melayu tentang perlunya kerajaan stabil dan mantap dipandang sepi. Terbaru Ordinan Darurat yang sepatutnya dibahas di parlimen dimansuhkan secara tiba-tiba.
5. Adalah jelas bahawa Pentadbiran Perikatan Nasional ini bukan sahaja membelakangkan tatasusila dan adat Melayu, malah lebih dahsyat lagi memutar belit peruntukan perlembagaan dan Perintah Tetap Parlimen.
6. Ahli-ahli politik berkewajipan untuk bertindak sopan dan berhemah. Dengan itu adalah wajar untuk Perdana Menteri dan kabinet meletakkan jawatan. Kita berkewajipan untuk memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan tugas baginda seterusnya.
7. Rakyat menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang tegas berdiri mempertahankan perlembagaan.

YB DR ABDUL AZIZ BARI
KETUA PEMBANGKANG DEWAN NEGERI
PERAK DARUL RIDZUAN