Kerajaan Negeri Harap Bantuan Dari Persekutuan Panjangkan Landasan, Bangunkan Prasarana

Reading Time: < 1 minute

GOPENG, 28 Sept (Bernama) — Kerajaan negeri berharap kerajaan Persekutuan dapat memberi bantuan atau peruntukan sewajarnya terhadap pembangunan prasarana di seluruh Perak dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan bulan depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata antara projek yang memerlukan perhatian kerajaan Persekutuan dalam bentuk kewangan adalah usaha memanjangkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh.

Selain itu, peruntukan bagi penyediaan prasarana di Pulau Pangkor yang bakal diisytihar sebagai Pulau Bebas Cukai pada 1 Jan depan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan AgroFest Perak 2019 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di sini, hari ini.

AgroFest Perak 2019 yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan antaranya pertanian, perikanan dan agrotourism.

Kerajaan negeri sebelum ini merancang untuk memanjangkan landasan di LTSAS kira-kira 500 meter lagi, daripada dua kilometer sedia ada bagi membolehkan pesawat lebih besar mendarat.

Sementara itu, pengumuman Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai dibuat Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 tahun lalu.

Ditanya mengenai pembinaan kemudahan baharu seperti jeti dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ),  Ahmad Faizal berkata perkara itu tidak sempat untuk dilaksanakan menjelang pengisytiharan yang berbaki kira-kira tiga bulan lagi.

“Tidak sempat untuk pembinaan itu, maka kita akan gunakan apa yang ada atau ubah suai. Pengisytiharan tetap diteruskan,” katanya.

Menyentuh mengenai Belanjawan negeri, Ahmad Faizal berkata ia sedang dirangka dengan memberikan fokus kepada golongan asnaf bagi membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan.

— BERNAMA