Kerajaan Tidak Harus Layan Pengusaha Restoran Mahu Benar Merokok Dalam Premis

Reading Time: < 1 minute

Beberapa persatuan pengusaha restoran telah mengadakan demonstrasi aman di hadapan depan bangunan Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) sebagai membantah larangan merokok di semua restoran dan premis makanan seperti dilaporkan oleh portal Malaysiakini hari ini.

Persatuan itu termasuk Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas).

Menurut laporan itu lagi, mereka mendakwa kerajaan melucutkan hak mereka sebagai pemilik perniagaan untuk membuat keputusan.

Rupanya baru kini mereka sedar bahawa selama ini rokoklah yang membawa ramai pelanggan datang berkunjung ke restoran mereka.

Tanpa rokok, restoran mereka tidak ada beza dengan restoran orang-orang Islam lain seperti restoran nasi campur milik pengusaha Melayu yang jarang didapati menjual rokok di dalam premis mereka.

Di sinilah terletak kelebihan dan keistimewaan restoran mamak selama ini. Mereka menjana untung menarik ramai pelanggan kerana ada menjual rokok. Jika tabiat merokok diharamkan di dalam restoran, maka tidak ramai lagi akan melepak lama-lama di restoran mereka.

Para perokok tidak akan lagi meluangkan masa lebih dari 5 minit tanpa rokok. Mereka akan beredar mencari tempat lain untuk merokok.

Diharap, kerajaan tidak melayan kehendak golongan kapitalis ini yang mahu orang ramai terus merokok dan meluangkan masa lebih lama di kedai mereka yang akhirnya akan memberi kesan buruk terhadap produktiviti.

Tindakan kerajaan menetapkan kawasan-2 premis makanan dan banyak lagi tempat sebagai kawasan larangan merokok adalah tindakan yang tepat dan tidak perlu diubah lagi.

Kerajaan perlu tegas dan tidak melayan kehendak mereka yang berlebih-lebih dari perokok itu sendiri. Semua itu kerana keuntungan semata-mata, bukan kerana mahu ‘memperjuangkan’ hak perokok.