Lari Bawa Kimia Acetone Terbalik di Bagan Serai

Reading Time: < 1 minute

Foto oleh Hishamuddin Ahmad Zaki  

BAGAN SERAI | Sebuah lori tangki membawa muatan 20 ribu liter cecair kimia jenis acetone terjunam ke dalam parit di Kampung Parit Mentara 3, Bagan Serai, semalam.

Lori tangki tersebut dalam perjalanan dari Klang ke Pulau Pinang, terbabas ke dalam parit di kampung berkenaan kira-kira pukul 5 pagi.

Bernama melaporkan pihak bomba sedang berusaha memindahkan bahan kimia yang tertumpah ke dalam parit berkenaan dan kerja-kerja dijangka selesai selewat-lewatnya esok pagi.

“Pihak bomba bersama-sama dengan syarikat terlibat, akan memindahkan bahan kimia dari lori tangki terbalik ke lori baharu pada malam ini.

“Kita akan cuba untuk menyelesaikan operasi pemindahan pada malam ini juga, bergantung kepada keadaan semasa termasuk cuaca,” menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak, Mohamad Yunus Abu seperti yang dipetik dari agensi berita nasional, Bernama di sini, malam tadi.

Seramai 35 orang anggota bomba dan penyelamat terlibat dalam operasi berkenaan termasuk daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat), Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Ipoh.

Mengenai langkah keselamatan, beliau berkata setakat ini hanya empat buah rumah dalam jarak 100 meter dari lokasi lori tangki terbalik dinasihatkan supaya berpindah, memandangkan bahan kimia itu yang berada di udara, berisiko mencetuskan percikan api (spark) yang boleh menyebabkan kebakaran.

Mohamad Yunus berkata semua penduduk yang diarah mengosongkan kediaman, berpindah dan menumpang di rumah saudara mara atau jiran berhampiran.

“Selepas jarak 100 meter itu, keadaan selamat. Daripada aspek lain termasuk pernafasan penduduk tidak perlu bimbang kerana kawasan ini luas, bendang… jadi kurang risiko terdedah dengan udara tercemar,” katanya.

Tambah Mohamad Yunus sekiranya cuaca pada malam ini hujan, ia dapat membantu membersihkan bahan kimia itu, yang berada di udara sekali gus mengurangkan risiko kebakaran.

‘Acetone’ merupakan cecair kimia tanpa warna, mudah meruap, mudah bakar dan sering digunakan sebagai pelarut, antaranya untuk cat serta pewarna kuku.