Lulus 400 Hektar Ikut SOP, MB Alu-alukan Siasatan SPRM

Reading Time: < 1 minute

Seri Iskandar – Kerajaan negeri menjelaskan projek ladang hutan seluas 400 hektar di Hutan Simpan Kledang Saiyong dan Hutan Simpan Bukit Kinta diluluskan mengikut prosedur biasa setelah mendapat ulasan dari jabatan-jabatan yang berkaitan.

Menurut Menteri Besar Perak, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu, syarikat diberi kelulusan berdasarkan pengalaman luas dua pengarah syarikat dalam bidang penanaman hutan.

Menurut beliau lagi, walaupun syarikat tersebut merupakan syarikat baru, tetapi ia mempunyai kaitan dengan syarikat yang lebih besar.

Mereka telah bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (Malaysian Timber Industry Board) untuk mengusahakan ladang hutan bagi kawasan hutan yang tidak mempunyai balak atau hutan sekunder. Beliau juga menafikan mengenali dua orang Pengarah syarikat terbabit kerana keputusan dibuat berdasarkan pengalaman dan latar belakang mereka. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis Penyerahan Kunci Rumah Perakku Program Perumahan Rakyat (PPR) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan siasatan secara terperinci oleh SPRM dalam berkenaan kelulusan projek ladang hutan ini. Beliau memberi komitmen akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini. 

Untuk rekod, tanah yang diberi kelulusan berada di kawasan berbeza dan tidak ada kaitan dengan isu penerokaan haram di dalam kawasan milik MB Inc. baru-baru ini.

Semalam, gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak membuat laporan kepada SPRM selepas pendedahan dokumen kelulusan projek ladang hutan kepada sebuah syarikat “dua ringgit” yang baru lima bulan beroperasi tanpa sebarang profil dengan dua orang individu pemegang saham telah diberikan tanah seluas 400 hektar.