Nga Kor Ming Tidak Kecewa Nama Tiada Dalam Kabinet

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menjelaskan beliau tidak kecewa namanya tidak tersenarai dalam barisan kabinet Kerajaan Persekutuan.

Menurut Ahli Parlimen Teluk Intan itu, beliau menerima dan akur dengan keputusan yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Kor Ming berkata, beliau tetap akan meneruskan khidmatnya sebagai wakil rakyat selain menyeru masyarakat agar terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan kesemua kabinet yang dilantik.

Ditanya pemberita sama ada partinya berpuas hati terhadap keputusan itu, Kor Ming berkata beliau serahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti.

“Inilah masa untuk kita bina semula negara kita. Dan saya yakin dengan kepimpian Perdana Menteri yang berbekalkan pengalaman yang banyak, saya yakin beliau akan mampu memenuhi hasrat rakyat dan merealisasikan manifesto Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media selepas penyempurnaan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.

Dalam pada itu, Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong enggan mengulas lanjut kritikan Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh kepada Perdana Menteri berhubung isu perlantikan kabinet.

“Saya difahamkan pimpinan parti akan bermesyuarat esok dan kita tunggu sekiranya terdapat sebarang kenyataan media daripada pimpinan parti,” ujarnya.