Pelaburan Negeri Tidak Terjejas Ekoran Koronavirus – DS Nizar

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Sejak penularan novel koronavirus sebulan yang lalu, ia tidak memberi sebarang kesan kepada tahap pelaburan di negeri Perak. 

Demikian menurut Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor, Dato’ Seri Mohd Nizar Jamaluddin semasa bercakap kepada pemberita di sidang media yang diadakan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh hari ini.

“Sepanjang sebulan kes koronavirus ini tular, setakat ini tahap pelaburan di negeri Perak tidak terjejas langsung, ” kata Nizar.

Di samping itu, beliau secara peribadi menasihatkan warga negeri Perak supaya mengelakkan berada di kawasan tumpuan orang ramai bagi mengelakkan risiko jangkitan penyakit itu. 

“Kalau boleh, elakkan berada di tempat orang berpusu-pusu kecuali kalau menghadiri kematian atau kenduri.

“Jikalau terdapat simptom atau tanda-tanda seperti yang disebutkan pada ahli keluarga atau jiran, bawa mereka ke klinik atau hospital berdekatan,” katanya.

Turut bersama dalam sidang media ialah Exco Kesihatan, YB A. Sivanesan dan Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Negeri Perak, Dr. Ummi Kalthum Shamsudin.