Penduduk The Dales Bantah Sebarang Projek Di Lereng Bukit Berhampiran Kediaman

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Penduduk Panorama Tambun Perdana (The Dales) mendesak supaya pihak sebarang projek yang sedang atau akan dijalankan di tapak tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Perak (MAIPk) dihentikan buat selamanya.

Kawasan tersebut yang merupakan kawasan rizab tanah perkuburan terletak bersebelahan dengan kawasan kediaman penduduk di sepanjang kaki bukit Gunung Panjang adalah hutan bukit batu kapur.

Baru-baru ini, terdapat pihak kontraktor yang membawa jentolak ke kawasan tersebut dan melakukan kerja-kerja meratakan tanah di lereng bukit. Siasatan lanjut yang dijalankan mendapati pihak kontraktor terbabit tidak mendapat sebarang kelulusan dari pihak berkuasa untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

Tindakan meratakan lereng bukit tersebut mengundang bahaya kepada penduduk. Ia dikatakan akan memberi kesan buruk terhadap kestabilan tanah di lereng bukit itu.

Menurut wakil Jawatankuasa Penduduk Panorama Tambun Perdana, Puan Christine Wong Pek Yin, tidak ada alasan untuk melakukan projek komersial untuk mengeksploitasi kawasan lereng bukit itu kerana ia disumbangkan kepada MAIPk sebagai tanah rizab perkuburan.

“Penduduk di sini menentang tindakan ini kerana mereka membeli hartanah di sini. Bagi kebanyakan penduduk, ia adalah pelaburan terbesar yang mereka buat.

“Siapa yang mahu tinggal di sebelah ladang atau sebarang aktiviti yang pada bila-bila masa boleh runtuh dan menghempas kediaman mereka kerana rizab tersebut akan jadi tidak stabil jika dibangunkan,” kata Christine.

Penggunaan jentera berat oleh kontraktor menggali lereng bukit akan membuatkan gangguna fizikal tanah tersebut dan akan memberi kesan terhadap kestabilan tanah.

Dalam pada itu, beliau telah mengumpulkan 102 tanda tangan penduduk dan menghantar petisyen kepada Seri Paduka Baginda Sultan Perak, Menteri BEsar Perak, Pejabat Tanah dan Galian Perak, MAIPk, Datuk Bandar dan sebilangan agensi kerajaan yang berkaitan.

“Kami menentang sebarang kerja pembangunan di tanah rizab itu dan menggesa pihak berkuasa menukar tanah rizab perkuburan ke tempat lain dan kerajaan mengisytiharkan kawasan ini sebagai kawasan yang tidak boleh dibangunkan untuk sebarang projek pembangunan,” menurut Christine.

Beliau turut berharap pihak berkuasa memandang serius petisyen dan dapat menyelesaikan masalah ini supaya ia tidak berulang lagi di masa hadapan.