IPOH, 23 Mei (Bernama) — Seorang penjual karpet hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini di atas pertuduhan membunuh bapa sendiri awal bulan ini.
Karesh Kurma Sharma Pardeep Kumar 21, didakwa membunuh bapanya R. Pardeep Kumar, 56, di sebuah rumah di Taman Bercham Ipoh di sini antara pukul 4.30 petang hingga 7 malam pada 9 Mei lepas.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan oleh tertuduh selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.
Pendakwaan ke atas Karesh Kurma Sharma dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Mohammad.
Mahkamah menetapkan 26 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
— BERNAMA