Perak Mara Ke Final Piala Malaysia 2018

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

Perak mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia Unifi 2018 bertemu Terengganu setelah berjaya mengekalkan kemenangan terhadap Sabah dengan agregat 7-2 setelah keputusan seri 2-2 dalam perlawanan separuh akhir kedua di Likas malam tadi.

Permainan bermula agak hambar di awal permainan dimana bahagian tengah Sabah kelihatan kurang berkesan sebaliknya Perak yang bermain seolah mahu menambah gol walaupun mendahului dengan agregat 5-0 dan bermain tanpa tekanan.

Sabah akhirnya berjaya membolosi pintu gol Perak melalui jaringan Sabri Sahar pada minit ke-35 hasil dari sepakan sudut dari sebelah kiri pintu gol Perak.

Perak yang bermain seperti dahagakan gol dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-74 setelah Mohd Khairil Anuar dijatuhkan oleh penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim di dalam kawasan penalti. Sepakan penalti disempurnakan oleh Gilmar Da Silva menjadikan kedudukan 1-1. 

Pada minit ke 81, Gilmar sekali lagi mengecewakan Sabah apabila menghasilkan gol ke-2 Perak setelah menggelecek pemain pertahanan Sabah dan memperdayakan penjaga gol Sabah lalu menolak bola masuk dengan mudah ke pintu gol Sabah. 

Sabah hanya mendapat gol penyamaan pada minit ke-85 hasil tandukan menjunam Dawilson Batuil dari sepakan sudut dari sebelah kanan pintu gol Perak. Seperti baru bangkit dari tidur, Sabah berusaha sedaya upaya untuk mencari gol tetapi pertahanan Perak bermain dengan cemerlang mematahkan serangan Sabah. 

Sabah hampir berjaya mendapatkan gol apabila rembatan Dawilson terkena palang gol. Kedudukan kekal 2-2 sehingga tamat perlawanan yang membawa Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia Unifi 2018 bertemu Terengganu pada 27 Oktober ini.