Pesawat Ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah Dilencong Akibat Jerebu

Reading Time: < 1 minute

Jarak penglihatan terhad akibat jerebu menyebabkan tiga penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Ipoh, Perak tergendala, mengakibatkan seramai 549 penumbang terkandas di lapangan terbang tersebut.

Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman berkata, keadaan itu turut menyebabkan beberapa penerbangan yang dijadualkan tiba di LTSAS juga telah membuat lencongan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ​(KLIA).

Keadaan cuaca yang tidak sihat itu juga telah menyebabkan beberapa acara sukan termasuk Program FitMalaysia Edisi Melaka yang dijadual berlangsung esok di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Bandar Hilir Melaka dibatalkan.

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu diambil selepas IPU di Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan sekitar 120 petang tadi dan dijangkakan berada di paras tidak sihat untuk aktiviti luar esok.

Selain itu, penganjur dua acara sukan yang dijadual berlangsung hujung minggu ini turut mengambil keputusan untuk menangguhkan program termasuk BHPetrol, yang menangguhkan larian BHPetrol 2019 yang dijadual pada Ahad.

Turut mengambil keputusan sama ialah Cycling Selangor yang menangguhkan Perlumbaan 03, Selangor Criterium Series yang dijadual pada Sabtu ini.

~ Bernama