Pihak Pertikai Kuota Matrikulasi Untuk Bumiputera Diselar

Pihak Pertikai Kuota Matrikulasi Untuk Bumiputera Diselar

IPOH | Seorang aktivis bebas masyarakat, Datuk Rosli Yang Danian menyelar beberapa pihak yang mempertikai kuota kemasukan ke program Matrikulasi bagi Bumiputera.

Beliau beranggapan pihak-pihak berkenaan `buta’ sejarah dan `buta’ perlembagaan.

Beliau menegaskan kaum Bumiputera sewajarnya mempunyai hak sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan .

“Oleh demikian, saya menyeru agar isu ini dihentikan segera,” kata Datuk Rosli kepada Independent.my pada Selasa.

Beliau sekali lagi mengingatkan kepada pihak-pihak tertentu supaya jangan cuba mempermainkan isu-isu berhubung hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja dan kesucian agama Islam di masa akan datang.

Datuk Rosli seterusnya menzahirkan kekecewaan beliau kerana ketika isu berhubung Bumiputera, Melayu Islam dan Raja-Raja Melayu dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini tetapi tidak kelihatan langsung `pahlawan-pahlawan Melayu’ yang berani tampil mempertahankannya.

“Di mana pahlawan-pahlawan kita selama ini?… di saat pemimpin kita ditekan, diasak dan diperlekeh tidak kelihatan pejuang-pejuang bangsa ini keluar mempertahankan pimpinan berkenaan,” katanya.

Beliau menyeru agar pemimpin-pemimpin tulin Melayu terus maju ke depan mempertahankan hak-hak keistimewaan ini dan memberi jaminan bahawa hak keistimewaan orang Melayu akan terus dipertahankan.

Datuk Rosli turut kecewa dengan pimpinan Melayu di dalam barisan kepimpinan sekarang yang langsung tidak bersuara `diam menikus’ melihat ada kalangan rakan kepimpinan diserang.

Mengambil situasi sekarang, Datuk Rosli menegaskan bahawa kuota Bumiputera bagi pengambilan ke program Matrikulasi hendaklah dikekalkan.

Dalam perkembangan lain, beliau juga menyelar Majlis Belia Malaysia (MBM) yang menyarankan agama-agama lain dimasukkan ke dalam silibus pengajian di sekolah-sekolah dan universiti.

Beliau menganggap kenyataan ini sebagai dangkal dan bersifat keterlaluan.

“MBM seharusnya perlu berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan terutama yang melibatkan dasar dalam perlembagaan Malaysia.

“Saya menyeru agar MBM menarik balik kenyataan itu secara hormat dan perlu berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan di masa akan datang,” kata Datuk Rosli.

Kongsi Artikel Ini

Facebook Comments