PKP : PIKOM kecewa khidmat, sokongan IT tidak dibenarkan beroperasi

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 11 April  — Kerajaan diminta menyenaraikan perkhidmatan dan sokongan teknologi maklumat (IT) sebagai perkhidmatan penting, sekali gus memastikannya sentiasa berfungsi dan boleh diakses pada tempoh mencabar ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) juga kecewa kerana perkhidmatan dan sokongan IT tidak disenaraikan dalam sektor yang dibenarkan beroperasi dalam pelaksanaan fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat.

“Lebih sejuta perniagaan berisiko kerana tidak mempunyai sistem yang mantap dan dikemaskini berikutan ketiadaan sokongan serta perkhidmatan IT,” katanya.

Pengerusi PIKOM, Danny Lee berkata pihaknya telah mengemukakan permintaan, malah telah menegaskan kepada kerajaan, Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Majlis Keselamatan Negara sejak dua minggu lepas bahawa industri IT amat penting untuk membolehkan perniagaan terus beroperasi ketika tempoh PKP tersebut.

“Teknologi ini sepatutnya berada di barisan hadapan untuk mengupayakan ekonomi serta menyediakan mekanisme bagi tujuan penjarakan sosial yang selamat.

“Walaupun pihak industri memahami ini berkemungkinan menjejaskan keberkesanan PKP, pada masa sama adalah penting untuk memastikan rakyat Malaysia dapat bekerja dari rumah dengan kelengkapan sewajarnya selain infrastuktur dan kebersambungan dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Malah, kata Lee, ini juga memudahkan banyak syarikat untuk melakukan persiapan bagi tujuan bekerja dari rumah.

Jelasnya, teknologi juga merupakan komponen penting ekonomi dan menyumbang 18.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar selain menggaji lebih sejuta rakyat Malaysia.

“Ia (teknologi) telah menjadi pengupaya penting dalam semua sektor dan merentasi segenap industri daripada pembuatan sehinggalah perlombongan, perkhidmatan dan pembinaan.

“Syarikat besar dan kecil bergantung kepada infrastruktur IT yang stabil serta aplikasi untuk beroperasi,” katanya.

— BERNAMA