PKR Tambun Lulus Usul Tegaskan Pendirian PH Mesti Tunai Janji Anwar PM-8

Reading Time: < 1 minute

Parti Keadilan Cabang Tambun hari ini sebulat suara meluluskan usul penegasan pendirian cabang parti itu bahawa Pakatan Harapan mesti tunaikan janji pilihan raya melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8.

Usul itu dicadangkan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) oleh Ketua Cabang PKR Tambun itu sendiri iaitu YB Muhamad Arafat dan mendapat sokongan sebulat suara dari ahli cabang itu.

“Kita tuntut wajib tunai janji PH iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib dijadikan PM ke-8,” tegas Arafat kepada wartawan Independent selepas selesai Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Tambun di Taman Perpaduan hari ini.

Mengulas mengenai kehadiran anggota pada mesyuarat kali ini, beliau berkata ini merupakan rekod terbaru bagi PKR Cabang Tambun di mana seramai 629 anggota hadir pada hari ini.

Beliau dalam ucapan sebelum itu menekankan pentingnya disiplin dan komitmen anggota parti agar dapat memenangi hati rakyat demi untuk mengekalkan kemenangan yang dikecapi.

“Seperti mana Datuk Seri Anwar pernah menyebut, kita hanya menang pilihan raya, belum sampai menangi hati rakyat.

“Kita nak kekalkan kemenangan lebih susah, jadi cara nak kekalkan kemenangan ialah menangi hati rakyat,” ujarnya mengulas ucapannya sebelum itu.