amp domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/independ/public_html/wp-includes/functions.php on line 6170gotmls domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/independ/public_html/wp-includes/functions.php on line 6170Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu memandang serius dakwaan dua ekor lembu korban yang dijual tahun lalu melibatkan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Bagan Datuk.
Beliau kesal kerana 2 dari 3 ekor lembu sumbangan peribadi beliau yang sepatutnya diagihkan kepada asnaf didakwa telah dijual untuk tujuan lain.
Kenyataan itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Dato’ Iskandar Dzulkarnain bin Abdul Khalid dalam satu siaran media hari ini.
Ekoran dari itu, satu laporan polis teah dibuat semalam dan Menteri Besar menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Kerajaan negeri Perak pimpinan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu serius dalam menangani gejala rasuah dan mahu meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran.
Kenyataan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Perak dalam Perutusan Menteri Besar Perak Sempena Setahun Malaysia Baharu di Kediaman Menteri Besar (Lama) di Ipoh semalam.
Menurutnya, langkah yang diambil kerajaan negeri itu bertepatan dengan titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah pada perasmian Mesyuarat Pertama Yang Kedua Dewan Negeri Perak ke-14 bulan lepas.
Dalam titah perasmian itu, Paduka Seri Sultan telah bertitah bahawa gejala rasuah wajib diperangi secara tegas kerana rasuah membebankan rakyat. Rasuah terbukti telah melumpuhkan banyak negara dan tamadun dunia.
“Bagi menjunjung titah Paduka Seri Sultan Perak, pentadbiran kerajaan negeri Perak telah mengambil langkah mewajibkan Menteri Besar dan semua barisan EXCO mengisytiharkan harta serta memperkenlakan sijil audit untuk semua badan berkanun negeri termasuk Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.).
“Bagi menyemai budaya bersih cekap dan amanah, pentadbiran ini juga telah memperkenalkan anugerah integriti untuk kakitangan kerajaan negeri,” kata Ahmad Faizal.
Menurutnya lagi, tempoh ‘bulan madu’ meraikan kemenangan telah lama berlalu, pentadbiran perlu bekerja lebih keras bagi menzahirkan agenda dan harapan rakyat.
Beliau mengingatkan bahawa jawatan yang dipegang adalah amanah dan bukannya keistimewaan atau ‘privilege’ kerana inilah yang menjadi penyebab rakyat bangkit menolak pentadbiran sebelum ini.
“Kita perlu berpegang kepada kata² azimat ayahanda Tun Mahathir bahawa untuk berjaya, kita tidak hanya belajar dari kejayaan orang lain, tetapi kita juga mesti belajar dari kesilapan orang lain.
“Justeru, dengan penuh keinsafan, kita perlu sentiasa mengambil iktibar dari kesilapan yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu,” pesan beliau kepada para hadirin.
Walaupun baru setahun jagung mentadbir negeri, dan terpaksa menanggung pelbagai kerosakan dan hutang yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu, kerajaan Pakatan Harapan negeri Perak masih mampu mara ke hadapan menzahirkan impian rakyat untuk melaksanakan agenda pembangunan negeri.
Demikian menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam perutusan Sempena Setahun Malaysia Baharu di Kediaman Menteri Besar (Lama) di Ipoh malam tadi.
Beliau mendedahkan bahawa satu-persatu perjanjian yang merugikan kerajaan negeri telah dibuat semasa pentadbiran terdahulu dan lebih menyakitkan apabila mendapati natijah kerosakan yang ditinggalkan jauh lebih besar dari yang disangka.
“Ratusan juta ringgit dan harta milik kerajaan yang merupakan wang rakyat telah menjadi korban kepada kerakusan.
“Tetapi kita tiada pilihan … amanah tetap perlu ditunaikan dan alhamdulillah dalam keadaan itu kita telah mencapai suatu pencapaian yang menjadi azimat untuk terus mara ke depan menzahirkan impian rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para penjawat awam negeri dan persekutuan yang menunjukkan kesetiaan kepada ‘government of the day’ (kerajaan pada hari ini) dalam meneruskan agenda pembangunan negeri.
Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri telah berjaya menutup akaun kerajaan negeri pada 2018 dengan lebihan sebanyak RM50 juta berkat dari prinsip perbelanjaan berhemah yang diamalkan oleh pentadbiran kerajaan baharu.
Selain itu, beliau berkata, dalam tempoh 6 bulan mengambil alih pentadbiran negeri iaitu dari Julai hingga Disember 2018, Perak telah menerima jumlah pelaburan berjumlah RM1.5 bilion, lebih baik berbanding RM702 juta yang diterima bagi tempoh Januari hingga Jun 2018 semasa era pentadbiran sebelum ini.
“Kejayaan ini membawa makna yang besar kepada rakyat terutama kepada golongan muda kerana lebih 2 ribu peluang pekerjaan bakal diwujudkan melalui pelaburan yang telah diluluskan itu,” kata Ahmad Faizal.
Beliau turut memberitahu bahawa sebanyak RM1 bilion pelaburan telah diterima bagi suku pertama tahun 2019 iaitu antara Januari hingga April. Kerajaan negeri Perak juga akan berusaha menarik lebih banyak pelaburan yang berkualiti dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat negeri Perak selepas ini.
IPOH | Senarai barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, pihaknya sedang menunggu tarikh sesuai daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi majlis mengangkat sumpah.
“Saya bawa senarai nama (EXCO baharu) untuk diperkenankan oleh Sultan Nazrin namun sebelum itu perlu berbincang dengan pucuk pimpinan komponen parti Pakatan Harapan Perak terlebih dahulu.
“Selepas dapat tarikh dari istana, majlis angkat sumpah akan diadakan secepat mungkin,” katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Penyediaan Bubur Lambuk Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) 2019 di Dataran MBI pada Jumaat.
IPOH | Daerah Bagan Datuk yang didapati agak terkebelakang akan diberikan lebih fokus menerusi perancangan pembangunan ekonomi Jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Pertumbuhan Ekonomi Jajaran Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bagi merancang pembangunan di sepanjang jajaran lebuhraya berkenaan.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa tersebut berkata, beberapa jabatan dan agensi turut dilibatkan dalam jawatankuasa itu.
Menurutnya, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa itu, Abdul Yunus Jamhari pula merupakan Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak.
“Kita juga telah melantik pihak WCE sebagai penasihat kepada jawatankuasa untuk membincangkan bagaimana kita dapat memaksimumkan limpahan ekonomi kepada rakyat Perak di sepanjang jajaran WCE.
“Sebanyak lima daerah terlibat dengan jajaran WCE ini tetapi fokus akan diberikan lebih kepada daerah Bagan Datuk yang kita dapati ia agak terkebelakang,’’ katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis. Hadir sama Pengarah Urusan WCE, Datuk Neoh Soon Hong.
Ahmad Faizal seterusnya berkata, beberapa cadangan daripada pegawai-pegawai daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlibat sudah mengemukakan beberapa cadangan pembangunan di kawasan masing-masing.
Menurut beliau, cadangan tersebut perlu diperhalusi oleh pihak pejabat daerah dan pihak berkaitan.
“Saya telah menetapkan tempoh sebulan untuk pejabat-pejabat daerah mengadakan perbincangan di kawasan masing-masing dan kita akan perhalusi cadangan pada masa akan datang.
“Selepas itu akan diteruskan dengan tindakan-tindakan bagi memastikan cadangan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin demi kepentingan rakyat,” katanya.
Ahmad Faizal berkata, selain Bagan Datuk, peluang untuk memajukan kawasan terpencil lain seperti daerah Hilir Perak dan Perak Tengah cukup tinggi memandangkan harga tanah di kawasan berkenaan masih rendah berbanding Selangor dan Pulau Pinang.
Ditanya pemberita mengenai pembukaan jajaran lebuhraya tersebut yang dijadual sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini, katanya, perkara itu akan diumumkan pada 20 Mei nanti.
IPOH | Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi penerbangan antara Kuala Lumpur – Ipoh dan Guang Zhou, China antara Scanda Sky dan Amal by Malaysia Airlines dalam bidang perlancongan mampu merancakkan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negeri Perak.
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri amat mengalukan usaha meningkatkan lagi ‘air connectivity’ dari negeri Perak (Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh) ke satu lagi destinasi yang baru.
“Untuk kali ini, destinasi baru kita ialah GuangZhou, China dan kerjasama ini merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh banyak pihak apatah lagi ketika ini hubungan di antara dua negara (Malaysia- China) ini berada pada tahap cukup erat.
“Umumnya, peningkatan ‘air connectivity’ seperti ini akan merancakkan pembangunan sesebuah bandar serta pertumbuhan ekonomi negeri dan oleh itu, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan terus sama ada domestik atau antarabangsa bagi merealisasikan impian untuk menjadikan Ipoh sebagai hub pelancongan dan pintu masuk utama ke negeri Perak,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MOU) sempena ‘Charter Flight’ dari Guangzhou, China ke Ipoh, Perak di Hotel Weil, pada Selasa.
Ahmad Faizal berkata, apabila bercakap mengenai usaha untuk menarik kedatangan lebih ramai pelabur dan pelancong ke negeri ini, ia bukanlah bersifat ‘main-main’ atau cakap-cakap politik semata-mata demi mengaburi mata rakyat.
“Pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan ketika ini termasuk penubuhan Majlis Tindakan Pelancongan Perak (PTAC) bagi mewujudkan pelan induk untuk memacu sektor pelancongan negeri.
“Malah kita yakin, wujudnya beberapa usaha lain termasuk persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan Pulau Pangkor bermula Januari tahun depan akan merancakkan lagi kedatangan pelancong asing dan domestik ke negeri ini,” kata Menteri Besar.
IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu meminta pihak media dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaporkan isu berkaitan masalah kekurangan nutrisi terhadap kanak-kanak orang asli kepada agensi kerajaan yang berkenaan.
Katanya, pihak media dan NGO seharusnya membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian dan tidak mensensasikan isu berkenaan yang boleh mengundang panik.
Menurut beliau, kerajaan negeri setakat ini tidak menerima sebarang maklumat berhubung isu tersebut.
“Lebih baik mereka mencari jalan membantu bukan mensensasikan berita itu. Jika benar mereka mendapat maklumat tentang kekurangan khasiat kepada anak-anak orang asli ini, laporkan ia kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat terdekat, kepada kerajaan, wakil rakyat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan bukannya menimbulkan panik.
“Jika benar berlaku keadaan seperti itu, kita akan minta supaya tindakan diambil segera,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman di antara Scanda Sky dan Amal by Malaysia Airlines di sebuah hotel di Ipoh pada Selasa.
Ahmad Faizal menjawab laporan akhbar bahawa kanak-kanak orang asli di Gerik berdepan masalah kekurangan nutrisi kesan pembalakan balak di kawasan tersebut.
Beliau menambah, masalah berkaitan kurang nutrisi itu juga turut berlaku di kawasan bandar khususnya bagi keluarga kurang berkemampuan.
“Inilah sebabnya kerajaan memperkenalkan Kad Perak Prihatin untuk memastikan rakyat dapat memberikan makanan berkhasiat kepada anak-anak.
“Kad ini juga kita salurkan kepada semua tempat termasuk perkampungan orang asli Hulu Perak,’’ katanya.
Ahmad Faizal telah melancarkan Kad Perak Prihatin di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 10 April lalu.
Fungsi Kad tersebut sebagai kad bayaran untuk membeli keperluan makanan sebanyak RM80 sebulan dan kad rawatan kesihatan yang memperuntukkan RM300 setahun kepada 17,000 individu memerlukan di Perak.
IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal mengingatkan penjawat awam di negeri ini supaya menjaga batas-batas agar sebarang keputusan yang diambil tidak dipengaruhi oleh hubungan persahabatan dengan pentadbiran terdahulu.
Beliau berkata, menggadaikan sumpah janji serta taat setia kepada kerajaan semasa dengan tidak melaksanakan arahan mahupun keputusan disebabkan oleh konflik sentimen adalah sama sekali tidak wajar dilakukan.
Menurut beliau, tindakan seumpama itu boleh disifatkan sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada amanah yang diberikan oleh rakyat.
“Kita dapati ada sebilangan kecil penjawat awam yang masih terperangkap dengan sentimen terhadap ‘bos-bos’ lama daripada pentadbiran terdahulu.
“Sebagai manusia, kita tidak terlepas daripada ikatan persahabatan yang dibina antara penjawat awam dan pentadbiran terdahulu namun jagalah batas-batas itu supaya keputusan dan tindakan yang diambil tidak dipengaruhi oleh hubungan tersebut,’’ katanya.
Ahmad Faizal memberikan peringatkan ini semasa berucap pada Majlis Townhall Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Perak yang dihadiri Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Jubilee Kelab Golf Diraja, Ipoh pada Ahad.
IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menyangkal dakwaan pembangkang penjawat awam masih kabur dengan hala tuju kerajaan negeri.
Beliau menjelaskan perbincangan dengan pegawai kanan kerajaan sering kali diadakan dan mereka memahami dengan jelas hala tuju kerajaan negeri terutama membabitkan isu tanah, pembangunan dan pelaburan.
“Sesiapa sahaja boleh berhubung secara terus untuk mendapatkan maklumat lanjut dengan pantas dan berkongsi pandangan serta cadangan untuk kebaikan negeri.
“Sekali air bah, sekali pantai berubah. Saya percaya dan yakin, majoriti penjawat awam di Perak setia kepada pentadbiran ini, dengan izin ‘government of the day’.
“Walaupun begitu, saya menyedari ada sebilangan kecil dalam kalangan mereka yang masih setia kepada ‘bos-bos’ lama,” katanya semasa menggulung perbahasan Titah Di-Raja sempena Sidang DUN Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Beliau yakin mereka akan memahami dan menyambut agenda kerajaan negeri untuk berkhidmat demi rakyat.
Ahmad Faizal penuh yakin penjawat awam di negeri ini akan menjunjung prinsip integriti dalam memelihara rahsia kerajaan negeri terutama maklumat sulit berkaitan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri.
Dalam penggulungannya beliau juga berkata, pihak Kementerian Pendidikan sudah menyelesaikan pelantikan Pengarah Jabatan Pendidikan Perak dan pengarah baharu akan dilantik dalam masa terdekat.
IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu melarang parti-parti politik sama ada parti pembangkang mahupun kerajaan menggunakan premis kerajaan seperti dewan (orang ramai) bagi tujuan politik.
Sebaliknya beliau berkata, dewan adalah untuk kegunaan orang ramai dan semua rakyat untuk digunakan dengan sebaiknya.
Beliau menjelaskan sememangnya semua premis kerajaan seperti dewan adalah untuk kegunaan orang ramai dan semua rakyat tetapi ia dilarang untuk semua kegiatan politik.
“Saya mengakui, ada sesetengah pihak pembangkang mahupun kerajaan yang tidak mementing nilai-nilai murni di negeri ini, kadang-kadang bila premis itu dibenarkan, mereka telah menyalahgunakannya.
“Kerajaan telah menetapkan syarat bahawa premis-premis kerajaan tidak boleh digunakan untuk tujuan politik dan ini sangat jelas untuk semua parti, ia termasuk parti kerajaan sendiri,” katanya pada sesi penggulungan Sidang DUN Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Ahmad Faizal membuat penjelasan itu semasa menjawab celahan, Jamilah Zakaria (BN-Trong) yang mendakwa bahawa pihaknya dilarang daripada menggunakan dewan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi program kesihatan.
Beliau yang juga ADUN Chenderiang berkata, tujuan sebegitu sememangnya baik namun menegaskan sebarang program menggunakan premis kerajaan bagi tujuan politik adalah dilarang.
Sehubungan itu beliau menyeru kepada pihak yang ingin menggunakan premis kerajaan supaya menggunakannya dengan tujuan yang baik tanpa menaikkan logo, bendera parti serta isu isu yang menghentam kerajaan dalam aktiviti yang dilakukan.