amp domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/independ/public_html/wp-includes/functions.php on line 6170gotmls domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/independ/public_html/wp-includes/functions.php on line 6170Kerajaan negeri Perak akan meneruskan Festival Puisi Lagu Rakyat (PULARA) buat kali ke-9 pada tahun ini walaupun ianya dimulakan oleh pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Ia suatu perkara yang amat baik untuk masyarakat dan ianya boleh diteruskan, malah pada kali ini saya mengharapkan festival kali ini dapat diperhebatkan lagi dan diperluaskan sehingga melibatkan anak-anak di peringkat sekolah,” kata Ahmad Faizal dalam satu sidang media di Pejabat Kerajaan Negeri Perak di Ipoh petang ini .
Festival PULARA kali ke-9 ini akan berlangsung dari 28 November hingga 2 Disember 2018. Sebanyak 20 buah negara sudahpun menyatakan pengesahan untuk turut serta dalam festival kali ini. Antara negara tersebut ialah Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Bangladesh, India, Jepun, China, Korea Selatan, Turki, Belanda, Jerman, Romania, Mongolia, Perancis, Amerika Syarikat, Timor Leste, Tunisia dan Congo.
“Para peserta juga akan dibawa melawat ke bandar² seperti Kuala Kangsar untuk mengadakan bacaan puisi di sana.
“Selain itu acara bacaan puisi dan persembahan kebudayaan akan turut diadakan di Lata Kinjang Daerah Batang Padang dan Kampung Karyawan Malim Daerah Kampar.
“Persembahan budaya nusantara akan turut diadakan di Dataran Amanjaya,” kata Ahmad Faizal.
Festival PULARA adalah anjuran Kerajaan Negeri tetapi seperti tahun yang lalu, pihak Tourism Perak dan Yayasan Kampung Karyawan Malim akan mengendalikan festival tersebut. Kerajaan negeri Perak akan bekerjasama dengan pihak Yayasan Kampung Karyawan Malim yang telah memulakan inisiatif festival tersebut.
Adalah dijangkakan seramai 500 peserta akan mengambil bahagian dalam festival kali ini.
IPOH: Kerajaan negeri Perak komited untuk membuat pelarasan kepada 99 tahun untuk semua perkampungan Melayu, Cina dan India.
Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan mengambil langkah ini demi kepentingan semua kaum di negeri ini.
“Bagi kerajaan negeri, apa yang kita boleh buat adalah memberi pajakan 99 tahun kepada semua kawasan penempatan bukan sahaja Kampung Baru tetapi semua penempatan perkampungan orang Melayu dan kaum India.
“Mungkin ramai tidak tahu banyak perkampungan Melayu sendiri, pajakannya lebih pendek sekitar 60 tahun berbanding 99 tahun Kampung Baru.
“Jadi kerajaan negeri komited untuk membuat pelarasan kepada 99 tahun untuk semua perkampungan Melayu, Cina dan India.
“Rumah adalah keperluan asas semua manusia dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu mengambil kira kepentingan semua kaum,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama pengamal media Perak di kediaman rasmi (lama) Menteri Besar, Ipoh malam tadi.
Ahmad Faizal seterusnya berkata, malah kerajaan negeri mahu membuka lebih banyak penempatan baru untuk semua kaum di negeri ini.
“Ini adalah komitmen kita…. malah dalam Islam, pemerintah mesti berlaku adil kepada semua kaum,’’ ujarnya.
Mengenai dakwaan salahguna kuasa dan ketirisan dalam GLC, Ahmad Faizal menjelaskan, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa termasuk SPRM untuk menjalankan siasatan.
“Jika ada bukti, pihak yang berkuasa akan ambil tindakan undang-undang. Jadi dalam hal ini jika kerajaan negeri tidak ambil tindakan kita akan dituduh tidak bertegas…. jika ambil tindakan kita dituduh sebagai membalas dendam,’’ katanya.
Beliau menyebut sebagai contoh dalam MB Inc. didapati banyak perjanjian yang meragukan, yang berat sebelah tidak menguntungkan kerajaan negeri. Katanya, banyak yang berlaku ini menyebabkan ketirisan dan apa yang kerajaan lakukan ialah mengkaji semula serta menamatkan perjanjian yang terlalu membebankan MB Inc. dan kerajaan.
Ditanya sejauh mana pertukaran pegawai kanan GLC negeri seperti PKNP berjaya memulihkan keadaan syarikat dan kedudukan kewangannya, Ahmad Faizal berkata, beliau ada maklumat yang bukan sahaja mengejutkan malahan menyedihkan.
Menurut beliau, PKNP sebagai anak syarikat terbesar kerajaan negeri kini mempunyai hutang keseluruhan RM600 juta.
“Kita dapati banyak ketirisan berlaku, perjanjian tanah yang tidak menguntungkan PKNP, pembelian yang terlalu mahal berbanding harga pasaran.
“Gaji pegawai atasan yang terlalu tinggi malahan setaraf dengan gaji eksekutif kanan GLC besar seperti PETRONAS tapi PKNP berhutang dan tidak menjana keuntungan.
“Kita telah mengkaji semula perjanjian sedia ada dan melaksanakan sistem bidaan untuk pajakan tanah dan sebagainya. Tiada lagi pajakan lima tahun tetapi syarikat berkenaan gagal menjalankan projek dan ini tidak membantu meningkatkan hasil PKNP.
“Kita mahu GLC semua buat keuntungan tetapi pada masa yang sama kembali kepada tujuan asal penubuhan kerana sekarang banyak yang bersaing sesama sendiri dan syarikat swasta,’’ katanya.
IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menukar nama Bulatan Amanjaya Meru dengan nama lain dalam rangka strateginya untuk menjadikan lokasi itu sebagai pusat penganjuran acara berskala besar dan bertaraf antarabangsa.
Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, untuk itu kerajaan negeri akan merangka pelan pembangunan di kawasan berkenaan bagi memastikan ia terus meriah dengan kehadiran orang ramai.
Menurut beliau, selain sebuah taman tema air yang sedang dirancang untuk dibina di kawasan tersebut, kerajaan negeri juga berminat untuk meneruskan perancangan pembinaan lebih banyak hotel, kawasan perumahan dan pusat membeli-belah.
Ahmad Faizal menegaskan, ia merupakan perancangan yang telah diatur kerajaan pimpinan sebelum ini namun atas sebab kepincangan pentadbiran menyebabkan ia gagal dilaksanakan.
“Apa yang sedang diusahakan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan kerajaan negeri, kita akan usahakan segala perancangan yang baik-baik, tanpa kita buat hutang, menyusahkan syarikat berkaitan kerajaan negeri dan menyusahkan kerajaan negeri,’’ katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian ketika berucap merasmikan Jamuan Jalinan Mesra Gabungan Usahawan Meru Raya di Rumah Kutai Bandar Meru Raya, malam tadi. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Awi serta Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Beliau turut memberi komitmen kerajaan negeri untuk membantu para peniaga dan usahawan bumiputera terutama golongan muda di sekitar Bandar Meru Raya sekaligus menjadikan kawasan bandar berkenaan sebagai pusat aktiviti ekonomi bumiputera.
Ahmad Faizal juga mengharapkan para usahawan bumiputera terbabit dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan untuk membantu yang lain selain menyediakan latihan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan.
Terdahulu YB Asmuni Awi dalam ucapannya berkata, langkah pengecilan jawatan bagi penjawat awam yang diambil kerajaan sekarang tidak seharusnya menjadi penghalang bagi golongan muda untuk menceburi bidang perniagaan.
Katanya, ini kerana bidang perniagaan mampu menjana mendapatan lebih kepada mereka yang benar-benar komited untuk menjadi seorang peniaga dan usahawan yang berjaya. Beliau memberikan contoh di kawasan Meru Raya ketika ini dimana pembabitan orang Melayu dalam perniagaan semakin ramai dan amat membanggakan.
BATU GAJAH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu meminta orang ramai membantu kerajaan negeri menangani isu pencerobohan tanah kerajaan daripada terus berleluasa.
Katanya, kerajaan amat memandang serius kegiatan pencerobohan tanah kerajaan di negeri dan bertegas akan mengambil tindakan terhadap mereka yang dikesan melakukan kegiatan haram itu.
“Menceroboh tanah ini memang satu perkara yang serius dan kita tidak boleh biarkan ianya berterusan…Tentunya kita akan sentiasa mencari jalan untuk mengekang perkara ini daripada berlaku berterusan.
“Saya harap orang ramai dapat membantu kerajaan untuk memberikan kita maklumat agar tindakan sewajarnya dapat kita ambil dari semasa kesemasa,’’ katanya.
Beliau berkata demkian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Beliau diminta mengulas satu aktiviti pencerobohan tanah dikesan berlaku di taman negeri ketiga di Perak iaitu Taman Alam Kinta sejak seminggu lalu. Pencerobohan membabitkan kawasan seluas empat hektar itu melibatkan kerja-kerja pembersihan dilakukan sebuah koperasi dipercayai bagi tujuan tanaman kontan.
Exco Kerajaan Negeri, Tan Kar Hing berkata, koperasi terbabit mendakwa telah memiliki tapak berkenaan melalui satu perjanjian sewa dengan operator tempatan pada bayaran lebih RM7,000 secara tahunan. Bagaimanapun menurutnya, pemeriksaan lanjut dilakukan bersama Perbadanan Taman Negeri Perak mendapati, dokumen perjanjian sewa yang dilakukan adalah tidak sah.
“Baik kerajaan negeri mahupun perbadanan, kita tidak pernah memberi kelulusan atau kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menjalankan sebarang aktiviti di tapak yang telah digazetkan sebagai taman negeri.
“Ini adalah satu bentuk pencerobohan, segala kerja pembersihan yang telah dilakukan pihak terlibat adalah salah di sisi undang-undang,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan Taman Alam Kinta, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Noor Asmah Mohd Nawawi,
Satu laporan polis telah dibuat 19 Julai lalu dan siasatan lanjut berhubung kes itu dilakukan di bawah Seksyen 425 dan 426 Kanun Tanah Negara 1965. Kar Hing berkata, kes berkenaan adalah yang pertama dilaporkan berlaku sejak Taman Alam Kinta yang berkeluasan lebih 395 hektar diisytiharkan sebagai taman negeri ketiga pada Mac 2016.
Katanya, kekurangan tenaga renjer untuk melakukan rondaan selain faktor persempadanan yang memudahkan laluan masuk ke kawasan taman antara penyumbang pencerobohan boleh dilakukan.
“Kita dimaklumkan, hanya terdapat dua renjer bertugas untuk memantau dan membuat rondaan di seluruh kawasan ini, kita fahami kekangan ini dan akan memberi perhatian segera termasuk menambah bilangan tenaga kerja,” katanya.
IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan syarat kesemua pemegang sijil berkenaan perlu fasih berbahasa Melayu dan mendapat kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu menjelaskan, kerajaan negeri akan mengikut keputusan Kerajaan Persekutuan dalam mengiktiraf UEC.
“Secara rasmi kami mengiktirafnya dan seperti diperkatakan oleh Menteri Pendidikan, kita sedang melangkah ke arah itu.
“Kalau Kerajaan Pusat bersetuju dengan UEC, jadi sudah tentu kami akan turut bersama,” katanya kepada pemberita di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Negeri Perak 2018 di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, semalam.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga secara terbuka menerima pemegang UEC untuk berkhidmat dalam sektor awam selepas ini.
Bagaimanapun Ahmad Faizal berkata, rakyat perlu berlapang dada berhubung perkara berkenaan demi menjaga hubungan sesama kaum di negara ini.
“Tiada sebab sebenarnya untuk kita tahan atau sekat peluang sebab untuk menahan peluang pemegang UEC asalkan mereka melepasi segala syarat yang ditetapkan.
“Saya bimbang kalau ada yang terlalu bercakap pasal isu ini boleh menyakitkan perasaan kaum lain,” katanya.
TAPAH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan barisan kepimpinan parti itu yang baharu dilantik semalam.
Namun begitu beliau berpendapat barisan kepimpinan UMNO itu perlu melaksanakan tanggungjawab dengan baik demi kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
“Saya minta maaf kerana tidak ikuti perkembangan semasa tentang pemilihan itu… Saya ucap tahniah semua yang terpilih dan saya fikir siapa juga terpilih eloklah menjalankan tanggungjawab dengan baik tapi akhirnya kita dalam apa juga parti politik fikirlah tentang kepentingan agama, bangsa dan tanahair bukan kepentingan diri.
“Jika pihak kerajaan hari ini telah giat melakukan perkara yang baik demi untuk menyelamatkan negara… Saya harap kepimpinan UMNO juga dapat beri sokongan padu.
“Bekerjasamalah kalau tentang penyiasatan wang yang disalurkan kepada tabung atau akaun UMNO itu dan sebagainya… Kenalah bekerjasama dengan pihak berkuasa tentang perkara itu,’’ katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Chenderiang dan Pakatan Harapan Tapah anjuran Pusat Khidmat DUN Chenderang di Dewan Komuniti Chenderiang pada Ahad. Turut menemani beliau dalam majlis ini ialah isteri, Dr. Nomee Ashikin Mohd Radzi.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Presiden UMNO setelah beroleh 93 undi sekali gus mengatasi dua pesaingnya iaitu bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin (51 undi) dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (23 undi).
Pada sidang media yang sama Ahmad Faizal berkata, kerajaan bercadang membangunkan kawasan masyarakat orang asli di Tapah sebagai kawasan eko pelancongan.
“Saya memikirkan kawasan orang asli yang begitu luas di Tapah ini boleh kita majukan dalam eko pelancongan dan sebagainya.
Selain itu katanya, Tapah sedang mengalami proses pertumbuhan dengan adanya kawasan taman perindustrian dan kawasan UiTM yang cukup besar yang menjadi pelonjak kepada pertumbuhan di Tapah.
“Saya telahpun berjumpa dan mendengar taklimat daripada semua ketua jabatan di peringkat daerah Tapah dan saya dapati banyak prospek besar… Cuma satu masalah paling rumit untuk diselesaikan iaitu masalah kesesakan lalu lintas di bandar Tapah,’’ katanya.
Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang juga menjelaskan bahawa beliau telahpun menyediakan pusat operasi di Bukit Baldwin di pekan Tapah baru-baru ini dengan menempatkan beberapa orang pegawai untuk membantu menyelesaikan masalah orang ramai dan sebagainya.
“Tempat operasi tersebut akan terus dijadikan pejabat pusat khidmat ADUN Chenderiang yang akan beroperasi daripada jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari dan ianya akan bersambung hingga ke malam jika ada keperluan.’’ Katanya.
IPOH: Kerajaan Perak mengambil langkah memperkasakan lagi bidang pertanian di negeri ini dengan cadangan mewujudkan pembahagian kawasan (zoning) untuk tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan.
Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata pembahagian kawasan zon itu akan dikenalpasti sebagai kawasan yang benar-benar sesuai untuk tanah pertanian.
Ahmad Faizal juga menjelaskan bahawa cadangan mewujudkan pembahagian kawasan zon itu tidak bertentangan sama sekali dengan peranan yang dimainkan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP).
Katanya, isu itu tidak timbul kerana PPPNP juga dibawah kerajaan negeri dan beliau adalah pengerusi perbadanan itu.
“Kerajaan negeri boleh fikirkan untuk perkenalkan zoning bagi tanaman contohnya di tempat yang sesuai bagi sayur-sayuran dan kita zonkan kawasan itu.
“Begitu juga dengan buah-buahan serta tanaman lain, saya fikir perkara ini menarik yang boleh dipertimbangkan dan perhalusi, selain dijadikan dasar di peringkat kerajaan negeri,” katanya.
Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas menerima serahan cek RM 50,000 dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, YB Tan Kar Hing dan Presiden PCCCI, Datuk Liew Sew Yee.
Ahmad Faizal turut menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa terbuka dalam mengadakan kerjasama dengan sektor swasta dalam membangunkan ekonomi negeri.
“Apa yang kita mahu buat ialah dengan meneruskan kerjasama dengan sektor swasta dan berterusan selesaikan masalah termasuk isu pengangkutan, lebuhraya dan sebagainya,” katanya.
IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu menegaskan beliau bukan seorang yang mahu mengejar kuasa dan mengenepikan perjuangan orang Melayu di negeri ini.
Katanya, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri tidak akan sesekali mengenepikan agenda perjuangan bangsa Melayu. Katanya, sebelum beliau memasuki arena politik lagi aspek kebajikan bangsa Melayu dan juga masyarakat daripada kaum lain sentiasa dititikberatkan.
Menurut Ahmad Faizal, walaupun kini menjawat jawatan nombor satu di Perak namun sifat dan prinsip dirinya tidak berubah.
“Walaupun logo parti saya daripada ketajaman dua keris, menjadi kepada kecantikan sekuntum bunga, kami tidak akan sesekali mengkhianati perjuangan orang Melayu.
“Saya bukan seseorang yang mahu mengejar kuasa dan mengenepikan perjuangan orang Melayu.
“Kalau semua yang kenal ‘Peja’ yang pernah berniaga burger di Pekan Razaki, mandi di Sungai Kepayang, dan berjalan merata di Ipoh, saya masih Peja yang sama”, katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Jalinan Kasih dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Perak, di Dewan Bulan Sabit Merah, Ipoh pada Rabu.
Ahmad Faizal menyeru masyarakat umum untuk menegur dirinya sekiranya terdapat sebarang kepincangan ketika melaksanakan tugas sebagai Menteri Besar yang baharu. Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Permuafakatan Melayu Perak (PPMP), Kahar Md Yassin.
Beliau juga menyeru masyarakat Melayu supaya menyemai perasaan cinta akan bangsa, agama dan negara dengan lebih mendalam.
“Kalau kita sayangkan bangsa, tapi tak pedulikan pendidikan anak-anak kita, biarkan anak-anak kita berpeleseran di merata-rata, membiarkan pemimpin rasuah, jangan kita mengaku kita orang Melayu sejati,” ujarnya.
IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak terus menunjukkan ketegasannya dalam menyelamatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dikenalpasti menanggung kerugian di bawah pentabiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.
Ketegasan tanpa kompromi lagi dengan mana-mana pegawai kanan dalam GLC setelah syarikat didapati berbelanja melebihi yang sepatutnya sehingga tidak masuk akal bukti ketelusan kerajaan di `mata’ rakyat pada hari ini.
Baru tiga hari lalu Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pemecatan tujuh pegawai eksekutif sebuah GLC daripada beberapa GLC kerana berbelanja melebihi yang sepatutnya dan dianggap tidak masuk akal.
Beliau berkata, pemecatan semua tujuh pegawai eksekutif itu dibuat susulan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.
Hari ini Ahmad Faizal menegaskan kerajaan negeri akan bertindak memecat ramai lagi pegawai kanan dalam beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam tempoh terdekat. Katanya, tindakan tegas ini diambil bagi menyelamatkan syarikat GLC berkenaan daripada terus menanggung kerugian.
“Saya tidak boleh berikan bilangan yang akan terlibat, ia bukan mudah kerana jika kita menukar pegawai pegawai ini, mereka mempunyai kontrak.
“Jika saya terburu-buru untuk mengambil tindakan menukar pegawai, ini akan menyulitkan kewangan syarikat juga dengan perlu membayar pampasan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis serahan RM 500,000 untuk Tabung Harapan oleh Unisem Group di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai sumbangan pada hari ini, Ahmad Faizal mengalu-alukan sumbangan itu sambil berharap lebih banyak syarikat swasta tampil menyumbang kepada Tabung Harapan.
“Terima kasih kepada Unisem yang bukan hanya memberikan peluang pekerjaan begitu banyak kepada rakyat, tetapi juga menyumbang dari segi kewangan kepada negara,” katanya
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan media hari ini mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) untuk menolak usul syarikat Maju Perak Holdings Berhad (MHB) meluluskan bayaran fi kepada Pengarah dan Pengarah bukan eksekutif untuk laporan kewangan berakhir 31 Disember 2017.
Cadangan itu dikemukakan pada Mesyuarat Agung Tahun (AGM) 2017 yang berlangsung hari ini. Pembayaran fi Pengarah ialah sebanyak RM386,250 manakala imbuhan pengarah bukan eksekutif dengan nilai mencecah RM150,000 dari 28 Jun hingga AGM yang akan datang.
Selain itu, usul dikemukakan untuk melantik semula 3 pengarah dan mengekalkan pengarah-pengarah bukan-eksekutif.
Ahmad Faizal sebagai pengerusi PKNP, badan yang memiliki saham majoriti dalam MHB, telah mengarahkan PKNP untuk menolak semua usul MHB.
Menurut kenyataan media itu, para pengarah MHB tidak wajar menerima bayaran fi yang besar untuk Laporan Tahun Kewangan 2017 berikutan prestasi yang mendukacitakan apabila mencatatkan kerugian bersih RM 11.01 juta seperti yang dicatatkan dalam laporan tahunan yang sama.
Pemberian imbuhan bagi tahun kewangan 2018 mestilah mencerminkan keadaan semasa yang serba mencabar.
Khidmat para pengarah sedia ada juga tidak sepatutnya disambung bagi memberi laluan kepada perubahan yang selari dengan polisi pentadbiran baru yang memberi keutamaan untuk memulihkan syarikat-syarikat berkaitan-kerajaan negeri yang tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan.
PKNP sebagai pemegang saham terbesar menolak semua usul MHB atas kepentingan kerajaan negeri Perak dan rakyatnya.
Pencarian senarai nama pengarah-pengarah oleh team Independent dari laman web Maju Perak Holdings mendapati halaman Boards of Directors telah diletak di bawah status ‘Under Construction’. Namun laporan mesyuarat tahun 2017 boleh dimuatturun dari sini dan kami memperolehi nama pengarah dan pengarah-pengarah bukan eksekutif tersenarai di dalamnya seperti di bawah ini.