amp domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/independ/public_html/wp-includes/functions.php on line 6170gotmls domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/independ/public_html/wp-includes/functions.php on line 6170IPOH | Kerajaan Pakatan Harapan sangat komited memastikan janji manifesto dijayakan sepenuhnya bukan sekadar pemberian hak milik tanah kekal kepada peneroka Felda, kampung tersusun dan kampung baru sahaja. Malah ia meliputi kesemua 5 dasar utama dan 10 tumpuan seperti yang tercatit dalam manifesto Pakatan Harapan. Demikian menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Perak, Dr, Abdul Aziz Bari hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kalau dahulu PAS dan Barisan Nasional mempersoalkan janji manifesto yang patut dikotakan oleh PH, kini sebaliknya pula yang berlaku. Mereka cuba mengaitkan pemberian hak milik tanah kekal sebagai sesuatu yang bersifat perkauman apabila ia cuba dilaksanakan.
“Suka saya menegaskan di sini, apa yang dituntut oleh DAP Perak di dalam konvensyennya baru-baru ini jelas menyebut bahawa DAP menuntut kerajaan menunaikan semua janji PRU-14 termasuklah pemberian hak milik tanah kekal kepada bukan sahaja kaum Cina di kampung baru, tetapi juga meliputi kaum Melayu khususnya apabila ia turut melibatkan peneroka Felda dan kampung tersusun,” jelas Abdul Aziz.
Tindakan Pesuruhjaya PAS Perak tidak menyokong PH meneruskan janji manifesto menunjukkan parti itu tidak berprinsip, tidak konsisten dan suka mengambil pendekatan populis dan oportunis semata, menurut kenyataan itu.
Pada 2008 semasa bersama Pakatan Rakyat, PAS pernah menyokong pemberian hak milik tanah 999 tahun kepada penduduk kampung baru. Bagaimanapun, agenda PH yang mahu menunaikan janji manifesto PRU-14 memberikan hak milik kekal dikatakan rasis.
“PAS perlu menjelaskan pendirian mereka berkenaan hukum hudud dan negara Islam kepada rakan sekutu mereka MCA yang jelas menentang secara terang-terangan.
“Serahkan tanggungjawab kepada kerajaan negeri dalam melaksana janji kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.
Beliau turut mengingatkan PAS agar tidak menjadikan sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat sebagai permainan politik golongan yang tidak bertanggungjawab.
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan tohmahan kononnya beliau mendesak Menteri Besar untuk memberikan pajakan tanah 999 tahun kepada kaum Cina sebagai propaganda jahat pihak tidak bertanggungjawab.
Sehuhungan itu beliau meminta pihak berkenaan dan juga pihak media yang berarus pembangkang supaya tidak terus memanipulasikan lagi isu ini.
“Semalam juga Menteri Besar telah mengesahkan tidak ada sebarang tekanan daripada mana-mana pihak berhubung soal tanah ini.
“Jadi tohmahan mengenai saya mendesak Menteri Besar untuk memberikan tanah kepada kaum Cina ternyata hanyalah propaganda jahat pihak tidak bertanggungjawab,’’ kata Dr Abdul Aziz.
Beliau seterus menjelaskan, janji manifesto Pakatan Harapan (PH) Perak berkaitan pemberian pajakan tanah 999 tahun turut membabitkan tanah orang Melayu di Kampung Tersusun dan peneroka FELDA. Sambil menafikan dakwaan kononnya beliau pejuang masyarakat Cina dalam isu itu, Abdul Aziz yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi berkata sentimen sengaja dimainkan pihak tidak bertanggungjawab dengan mengabaikan pemberian kepada orang Melayu.
“Saya bukanlah pejuang bagi masyarakat Cina dalam mendesak isu pajakan 999 tahun tanah Kampung Baru di Perak.”
“Manifesto PH (Perak) di bawah teras ketiga iaitu ‘keadilan sosial dan demokrasi’ adalah untuk memberikan tanah hak milik kekal kepada bukan sahaja Kampung Baru, tetapi juga Kampung Tersusun dan peneroka FELDA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak bersama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Asrama Anak Yatim Darussalam, di Kampung Melayu Sungai Rapat, Ipoh pada Khamis. Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.
Abdul Aziz berkata apa yang cuba diketengahkan adalah situasi semasa kerajaan negeri di bawah PH yang tidak ada masalah untuk menunaikan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Saya sebagai seorang yang mendalami Perlembagaan menceritakan dari sudut undang-undang bahawa kerajaan negeri tidak ada masalah untuk melaksanakan manifesto Pakatan Harapan di bawah teras ketiga.
“Sebagai makluman, kampung Tersusun dan peneroka FELDA penduduknya adalah majoriti Melayu, jadi tak timbul soal saya membela kaum Cina dalam isu tanah 999 tahun,” katanya.
Abdul Aziz berkata, percanggahan pendapat dengan Menteri Besar, hanyalah dari sudut Perlembagaan.
“Ia bukan soal pemberian hak milik tanah, kerana saya percaya Menteri Besar juga sependapat untuk menunaikan manifesto PH Perak secara keseluruhan.
“Saya hanya menjelaskan perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 91 (5) tidak menyebut soal halangan kerajaan negeri memberikan hak milik kekal kepada penduduk Kampung Baru, Kampung Tersusun dan peneroka FELDA,” katanya.
Semalam media melaporkan Ahmad Faizal menegur Abdul Aziz berikutan kenyataannya berhubung status hak milik tanah 999 tahun bagi Kampung Baru yang dilihat bercanggah dengan keputusan kerajaan negeri.
Ahmad Faizal dipetik sebagai berkata, sesiapa sahaja boleh membuat pandangan namun dalam beberapa hal ia hendaklah dilakukan secara tertutup.
Oleh Adzhar Ali, Editor-in-Chief
Politik di Perak hangat baru-baru ini rentetan dari Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu dalam ucapan penggulungan sidang dewan negeri tidak meluluskan pemberian hakmilik 999 tahun atau hakmilik kekal kepada penduduk kampung baru di negeri ini.
Saya jarang terpaut untuk menulis kecuali sesuatu hal itu menambat hati saya untuk turut menulis dan menyampaikan pandangan peribadi. Dalam hal tuntutan hakmilik tanah kekal ini, saya tidak dapat lagi menolak godaan untuk menulis dan menyatakan pandangan saya sebagai rakyat biasa anak jati Perak. Saya tahu tulisan saya ini akan turut dibaca oleh YAB Menteri Besar sendiri iaitu Ahmad Faizal, kerana zaman ini maklumat boleh disampaikan dengan terlalu mudah dan pantas. Saya boleh saja hantarkan pautan tulisan ini melalui aplikasi Whatsapp dan terus sampai ke telefon pintar yang sentiasa berada bersama beliau.
Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal dituduh tidak menepati janji manifesto Pakatan Harapan yang dibuat oleh beliau sendiri di sebuah hotel semasa tempoh kempen Pilihanraya Umum ke-14 yang lalu. Musuh-musuhnya dalam parti pembangkang mula mencabar beliau membawa parti Bersatu keluar dari Pakatan Harapan kerana kononnya tidak sehaluan dengan parti sahabat iaitu DAP. Saya juga ada terbaca beberapa portal berbahasa Inggeris yang melemparkan kata-kata bahawa Ahmad Faizal mula menunjukkan ciri-ciri UMNO yang asli atau ketuanan Melayunya dalam hal ini.
Golongan yang tidak senang pula mendakwa DAP cuba menekan Menteri Besar supaya meluluskan pemberian hakmilik kekal itu. Yang peliknya, mereka lebih tahu tentang hal ini dari orang-orang dalaman parti di dalam Pakatan Harapan sendiri. Nga Kor Ming sudah memberi kenyataan tidak pernah memberi tekanan terhadap MB malah akan terus bekerjasama dengan MB dalam Pakatan Harapan.
Dalam ucapan penggulungan Sidang Dewan Negeri yang lalu, Ahmad Faizal menyatakan pemberian hakmilik kekal adalah bertentangan dengan ketetapan mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 yang menetapkan bahawa tempoh pajakan atau ‘leasehold‘ bagi kampung-kampung baru hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.
Apa yang saya hendak perkatakan di sini bukanlah dari sudut perlembagaan, ketetapan mesyuarat atau apa saja sebab, tetapi pendekatan kerajaan negeri dari sudut keadilan sosial dalam isu pemilikan tanah 159 kampung-kampung baru di Perak ini.
Apa Ada Pada Hak Pemilikan Kekal?
Soalan pertama yang saya ingin ajukan ialah apa ada pada hakmilik kekal atau hakmilik 999 tahun sebenarnya sehingga ia jadi isu yang begitu panas sehingga rakan berbangsa Cina saya turut menghantar mesej melalui aplikasi Messenger memberi komentar tentang isu ini seolah menyindir saya.
Pertama, pegangan hakmilik kekal bermaksud pemilik hartanah itu adalah pemilik kekal, tidak ada kekangan untuk sebarang tempoh (maksudnya, ia adalah kekal miliknya).
Pegangan hakmilik kekal tak perlu risau hartanah itu dipulangkan semula kepada pihak kerajaan. Ini bermakna, kerajaan tidak akan mengambil semula hakmilik yang telah diberikan kepada pemilik hakmilik kekal, walaupun dalam keadaan tertentu, ada juga berlaku pengambilan semula oleh kerajaan. Tetapi ia sangat jarang berlaku.
Bagi hakmilik sementara iaitu biasanya disebut ‘pajakan’ 99 tahun, tentu ramai yang ingin tahu apa akan jadi selepas tempoh 99 tahun tersebut tamat? Jawapannya, tanah tersebut walaupun sudah dibina bangunan di atasnya akan kembali menjadi hakmilik negeri.
Kebanyakan projek perumahan hari ini adalah berstatus hakmilik sementara iaitu pajakan 99 tahun. Ini bermaksud, jika anda membeli sebuah rumah dari syarikat perumahan, rumah dan tanah dimana rumah itu dibangunkan adalah berstatus hakmilik sementara. ‘Sementara’ tidaklah bermakna kerajaan akan merampas semula rumah itu apabila sudah sampai tempoh 99 tahun.
Ini tidak akan berlaku kerana kebiasaannya pemilik tanah akan diberikan peluang untuk memperbaharui atau memanjangkan tempoh pajakan tersebut dengan membayar sejumlah premium mengikut kadaran nilai tanah semasa. Kebiasaannya, pemilik tidak perlu menunggu sehingga tempoh pajakan hampir tamat untuk memohon diperbaharui tetapi boleh mula memohon sebelum tempoh pajakan tamat (sekitar kurang 30-50 tahun) kepada Pejabat Tanah.
Adakah Mereka Golongan Spesial Yang Layak Mendapat Layanan Kelas Pertama?
Soalan seterusnya yang harus ditanya ialah kenapa mereka ini memperjuangkan hak mendapat hakmilik kekal atau 999 tahun? Adakah mereka ini rakyat yang spesial, berbeza dari rakyat Perak yang lain?
Perlu dinyatakan di sini ‘kampung baru’ dalam tulisan saya ini bukan secara spesifik merujuk kepada penempatan kaum Cina sahaja, kerana kampung baru untuk kaum Cina ada tambahan huruf ‘C’ dalam kurungan, seperti Kampung Baru (C).
Kampung baru di sini merujuk secara umum dimana terdapat penempatan untuk kaum Melayu, ada penempatan untuk Cina dan juga India malah kaum Sikh. Kampung Baru di Kuala Lumpur misalnya, diwujudkan sejak awal abad ke 19 oleh British untuk menempatkan orang-orang Melayu.
Apa istimewanya mereka ini? Adakah kerana mereka ini pada asalnya dikumpul dan ditempatkan dalam sebuah settlement yang diwujudkan semasa zaman darurat bagi mengatasi ancaman komunis ketika itu dianggap terlalu spesial?
Mengikut sejarah, kampung-kampung baru diwujudkan semasa zaman darurat di mana ia merupakan satu strategi ketenteraan di bawah Rancangan Briggs (1948-1960) bagi mengatasi ancaman pengganas komunis pada ketika itu.
Apa istimewanya mereka ini? Adakah kerana mereka ini pada asalnya dikumpul dan ditempatkan dalam sebuah settlement yang diwujudkan semasa zaman darurat bagi mengatasi ancaman komunis ketika itu dianggap terlalu spesial?
Kalau fakta sejarah kependudukan dijadikan alasan untuk mereka layak dianugerahkan status hakmilik kekal, bagaimana pula dengan nasib anak-anak Perak yang lahir pasca merdeka dan membesar di rumah-rumah teres yang sempit dalam komuniti yang padat berkongsi dinding dengan jiran sebelah, tidak ada ruang tanah yang luas, hanya muat untuk meletak sebuah atau dua buah kereta sahaja? Ada rekabentuk rumah, kebiasaannya rumah kos rendah yang tidak mempunyai ruang parkir kereta, hanya muat untuk menyimpan motorsikal sahaja. Apa yang mereka ada untuk menuntut hakmilik selama 999 tahun? Kenapa mereka ini tidak layak mendapat hakmilik kekal atau hakmilik 999 tahun seperti penduduk kampung baru? Mereka ini juga bukan terdiri dari satu etnik, sebaliknya datang dari semua latarbelakang etnik.
Jika penduduk kampung baru mendapat sebidang tanah kediaman yang selesa, setiap orang warga Perak yang lahir di negeri ini juga patut diberikan hak mendapat sebidang tanah yang selesa untuk mereka mendirikan rumah sendiri, jangan biarkan mreka tinggal di komuniti perumahan teres yang sempit dan padat.
Sebenarnya penghuni rumah teres lebih harmoni berbanding tinggal di kampung baru. Mereka boleh hidup bercampur gaul dengan bangsa lain, tidak seperti di kampung baru yang hanya menempatkan satu kaum etnik tertentu.
Tidak kira apa alasan Nga Kor Ming, DAP memang membangkitkan perkara ini kerana menurutnya, ia telah termaktub dalam janji manifesto Pakatan Harapan. DAP mendakwa mereka adalah sebuah parti yang demokratik, bukan parti chauvinist, tetapi adakah anda akan melihat DAP sanggup membangkitkan perkara ini jika penduduk kampung baru yang tidak mendapat hakmilik kekal itu adalah 100 peratus dari etnik Melayu? Bagi yang tidak faham, chauvinist bermaksud seseorang atau kumpulan yang memperjuangkan hak kumpulan tertentu sahaja, manakala hak kumpulan yang lain mereka abaikan. Saya tidak bermaksud ini isyarat perkauman. Tetapi lebih menjurus ke arah kumpulan tertentu.
Bagi saya, sebagai Menteri Besar, Ahmad Faizal tidak perlu mencari-cari alasan rumit seperti ketetapan mesyuarat MTN berpuluh tahun dahulu untuk membenarkan tindakan beliau tidak meluluskan pemberian hakmilik kekal kepada penduduk kampung baru dan kampung lain yang melibatkan etnik lain. Alasan perpaduan nasional sudah cukup untuk menjadikan semangat Malaysia Baharu ini dapat memadamkan terus benih-benih perkauman dan kalau boleh dihapuskan terus dari bumi Malaysia ini.
Saya pernah mewawancara Dr Aziz Bari tentang bagaimana pandangan beliau tentang sekolah berbagai aliran yang wujud di Malaysia ini, tidakkah ia menjadi elemen awal yang menyemai benih perkauman di negara ini, beliau cuma memberikan jawapan mudah bahawa tidak ada statistik menunjukkan ia mempunyai pengaruh terhadap sikap perkauman di negara ini.
Menuntut hakmilik kekal atau sehingga 999 tahun adalah tuntutan yang melampau. Ia bermakna memberi hakmilik secara percuma kepada sekurang-kurangnya 10 ke 20 generasi. Ia boleh mengganggu perancangan kerajaan di masa yang jauh ke hadapan, mungkin 500 tahun lagi kita tidak tahu apa projek pembangunan yang akan berlangsung di tapak tanah kampung baru nanti. Ini semua pasti akan menimbulkan masalah kepada kerajaan di masa hadapan. Sepatutnya tidak ada lagi tanah atau sesiapa yang layak diberikan hakmilik kekal atau 999 tahun. Tidak kira perlembagaan mana yang dijadikan rujukan, dari sudut pembangunan dan kemajuan, ini tidak lagi rasional. Dalam jangka panjang, kerajaan juga akan rugi kerana tidak memperolehi bayaran premium mengikut nilai semasa.
Apa yang saya lihat kini, semangat Malaysia Baharu yang cuba dicanangkan hanyalah retorik semata-mata kerana selagi garis perkauman itu masih tidak dapat dipisahkan, selagi itu negara Malaysia yang tercinta ini akan terus disemai dengan benih perkauman. Sejak dari lahir, sekolah, bekerja hingga menuntut hakmilik tanah, mereka masih menunjukkan sikap menjurus kepada perjuangan kaum tertentu dan ia akan berterusan selagi tidak ada seseorang yang berani dan bertindak tegas untuk membuat keputusan secara teguh, tidak dipengaruhi oleh tekanan dari mana-mana pihak.
Saya memandang isu ini bukanlah untuk membela atau membidas mana-mana pihak tetapi lebih kepada ingin melihat kebaikan dan keadilan ditegakkan untuk rakyat dan ia untuk kebaikan kerajaan negeri secara amnya. Saya juga mempunyai sebidang tanah, di atas tanah inilah saya membina sebuah rumah untuk didiami, tanah yang bernilai premium terletak di dalam kawasan Ipoh – dan saya tidak pernah menuntut hakmilik kekal atau 999 tahun. Kenapa pula mereka yang kebanyakannya mempunyai tanah di kampung baru yang terletak di luar bandar yang nilainya tidak setinggi di kawasan bandar mahu menuntut yang bukan-bukan?
Sebagai Menteri Besar yang mempunyai kuasa dalam hal ini, inilah masanya Ahmad Faizal sekali-sekala menggunakan kuasanya untuk memberi pelajaran kepada warga Perak bahawa tidak ada perkara yang percuma dalam hidup ini, dan tiada siapa yang spesial dan layak diberikan layanan khas dalam masa yang sama golongan lain diabaikan. Tidak salah menjelaskan kepada rakyat bahawa tidak semua janji manifesto dapat ditunaikan. Sepertimana Tun Mahathir berkata manifesto bukan kitab.
Tuntutan hakmilik 999 tahun di era pasca merdeka ini adalah sesuatu yang melampau dan bukan lagi suatu keperluan. Mereka mahu membina generasi yang mewarisi harta secara percuma, manakala golongan lain berhempas pulas mencari rezeki. Ini tidak adil. Kampung baru asalnya diwujudkan untuk menangani komunis, kini sudah 2018 zaman itu sudah lama berlalu, tiada lagi komunis. Sudah tiba masa kampung baru dibubarkan. Mereka patut keluar dari kelompok kaum dan bergaul dengan masyarakat berbilang bangsa.
Kepada mereka yang cuba hendak menjadi ‘hero’ rakyat memperjuangkan isu ini, jadilah hero kepada seluruh rakyat Perak, bukan hero kepada kelompok tertentu sahaja.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan media menafikan beliau memberi tekanan terhadap Menteri Besar Perak supaya meluluskan pemilikan 999 tahun kepada penduduk kampung baru.
Dalam kenyataan itu, beliau menyatakan kekesalannya terhadap satu laporan akhbar tempatan yang bertajuk ‘DAP Berkeras’ bertarikh 19 Ogos 2018, yang merujuk kepada isu kononnya DAP Perak meminta Menteri Besar meluluskan hakmilik kekal atau 999 tahun itu. Nga menegaskan bahawa itu adalah tidak benar dan laporan akhbar tersebut adalah tidak bertanggungjawab.
Beliau menambah bahawa tidak pernah membangkitkan isu hakmilik kekal sebaliknya apa yang berlaku adalah apabila ditanya oleh pemberita, beliau menyatakan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan semua janji yang termaktub dalam manifesto. Nga menyifatkan laporan berita sebegitu adalah berniat jahat dan bersifat provokasi cuba memecahkan perpaduan antara kaum. Beliau berharap rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan racun politik perkauman sedemikian sebaliknya memberikan sokongan kepada kerajaan Pakatan Harapan untuk melakukan pembaharuan demi manfaat bangsa & negara tercinta dalam era Malaysia Baru ini.
Nga memberi jaminan bahawa DAP adalah parti yang bertanggungjawab, tidak pernah memberi tekanan kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Dato Azumu, sebaliknya sentiasa menjalin hubungan mesra, bekerja sebagai satu pasukan dan saling hormat menghormati. DAP Perak akan berdiri teguh bersama Menteri Besar & memberi sokongan padu kepada kepimpinan Ahmad Faizal supaya Pakatan Harapan dapat membawa kesejahteraan hidup kepada seluruh rakyat negeri Perak serta membawa pembangunan ekonomi pesat kepada negeri.
Merujuk kepada berita semalam, portal Malaysiakini memetik laporan oleh Bernama bahawa DAP Perak tetap mahukan kerajaan negeri memberikan status hakmilik 999 tahun atau hakmilik kekal kepada kampung-kampung baru ‘seperti yang dijanjikan’ dalam manifesto Pakatan Harapan ketika PRU-14 lalu. Manakala laman dalam talian Utusan Online pula melaporkan DAP tetap mahu kerajaan negeri menunaikan janji untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada tanah kampung baru.
IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal menegaskan pendirian kerajaan negeri bahawa cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru bercanggah dengan Perlembagaan.
Menurut beliau, semakan dengan pihak Majlis Tanah Negara (MTN) iaitu Dasar Spesifik Mengenai Pemegangan Tanah Bagi Kawasan Kampung-Kampung Baru telah memutuskan bahawa tempoh pajakan atau ‘leasehold‘ bagi kampung-kampung baru telah dinaikkan daripada 30 tahun kepada 60 tahun.
Katanya, mesyuarat MTN Ke-53 pada 25 April 1997 menetapkan bahawa tempoh pajakan atau leasehold bagi kampung-kampung baru tersebut hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.
“Keputusan ini sekaligus mengikat semua negeri di Semenanjung seperti peruntukan di bawah Perkara 91(5) Perlembagaan Persekutuan, oleh itu cadangan untuk memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada Kampung-kampung Baru adalah bercanggah dengan Perlembagaan.
“Memandangkan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat di bawah Pakatan Harapan, perkara ini akan dipanjangkan kepada kerajaan Pusat untuk pertimbangan melalui MTN,” katanya dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin.
Menurut Ahmad Faizal, pekeliling oleh Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan iaitu dari perspektif Perlembagaan, keputusan MTN yang dibuat di bawah Perkara 91 (5) Perlembagaan Persekutuan adalah sebahagian daripada efek operasi undang-undang yang mengikat kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk mematuhinya.
Justeru itu, katanya, jika ada tindakan kerajaan-kerajaan negeri yang membelakangi keputusan MTN maka tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai tidak mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam penggulungannya, Ahmad Faizal juga menzahirkan pendirian tegas kerajaan negeri bahawa tanah kerajaan negeri tidak boleh dipindah milik individu lebih-lebih lagi jika melibatkan aktiviti pencerobohan.
Bagaimanapun, katanya, atas budi bicara, kerajaan negeri boleh membenarkan tanah-tanah tersebut diusahakan dengan membuat permohonan menyewa atau boleh diberikan lesen pendudukan sementara (TOL).
Menurut beliau, kerajaan negeri tetap bertegas bahawa tanah-tanah kerajaan negeri tidak boleh diberikan kepada individu sewenang-wenangnya kerana ia akan memberi kesan kepada jumlah rizab tanah atau ‘land bank’ kerajaan negeri.
“Tanah adalah aset yang amat berharga kepada kerajaan dan sekiranya kerajaan negeri memberikan hak pemilikan kepada semua mereka yang menceroboh tanah kerajaan, ia akan membuka ruang atau ‘floodgate’ kepada lebih banyak aktiviti pencerobohan,’’ katanya.