The Bos Gaurus Memang Layak Digelar Juara Piala Malaysia

Reading Time: 2 minutes

Pasukan The Bos Gaurus berjaya membawa pulang Piala Malaysia buat kali kelapan setelah menewaskan Terengganu FC 4-1 dalam penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir yang penuh dramatik di Stadium Shah Alam, Selangor malam ini.

Perak dikejutkan oleh jaringan gol awal Tchetche Kipre pada minit pertama setelah pertahanan Perak membuat hantaran lemah kemudian dirampas oleh Kipre untuk menterjemah kepada gol pertama Terengganu.

Perak sepatutnya mendapat gol penyamaan hasil tandukan Gilmar namun gol dibatalkan oleh pengadil yang menyangka Gilmar menolak penajga gol Terengganu namun ulang tayang menunjukkan tiada kekasaran berlaku di antara Gilmar dan Suffian Ab Rahman.

Gilmar sekali lagi menerjah jaring Terengganu dalam separuh masa pertama namun penjaga garisan telah mengangkat bendera kerana Gilmar berada dalam kedudukan offside.

Kipre sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-42 apabila penjaga gol Perak Hafizul Hakim gagal menyepak bola keluar akhirnya terlepas ke kaki Kipre lalu merembat bola masuk.

Masuk ke babak kedua, Perak berjaya mendapatkan jaringan di awal babak hasil hantaran Brendan Gan berjaya disudahkan oleh Firdaus Sayadi pada minit ke 46.

Perlawanan agak sengit sehingga menimbulkan beberapa insiden kekecohan antara pemain kedua-dua pasukan. Gilmar dilayangkan kad kuning kedua dan secara automatik mendapat kad merah diarah keluar padang oleh pengadil, Suresh Jayaraman.

Pada minit ke-66 Lee Tuck pula dilayangkan kad merah kerana mengkasari peman Perak. Kedua-dua pasukan bermain dengan 10 pemain setelah masing-masing seorang dilayangkan kad merah.

Di minit-minit terakhir perlawanan, dalam keadaan TErengganu sedang bersedia untuk merayakan kemenangan, Brendan Gan berjaya mendapatkan gol penyamaan untuk Perak setelah bola jatuh tepat ke kakinya setelah disepak keluar dari pertahanan Terengganu.

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan masa penuh membawa kepada tambahan masa yang menyaksikan kedua-dua pasukan masing-masing menambah satu jaringan menjadikan kedudukan penuh 3-3.

Gol ketiga Terengganu dijaringkan oleh Faiz Nasir di minit ke 95 manakala gol penyelamat Perak juga terhasil pada minit terakhir perlawanan hasil gol sendiri pemain pertahanan Terengganu, Igor Zonjig.

Hafizul Hakim Hero Sepakan Penalti

Permainan membawa kepada penentuan sepakan penalti dimana penjaga gol Perak yang melepaskan gol sebelum itu berjaya menebus kesilapannya untuk menjadi hero menyelamatkan dua sepakan penalti pemain Terengganu iaitu Igor Zonjig dan Chanthacheary Bin.

Empat pemain Perak berjaya menyempurnakan sepakan penalti iaitu Wander Luiz, Amirul Azhan, Shahrul Saad dan Leandro Dos Santos. Gol penalti Terengganu dijaringkan oleh Nasrullah Haniff.

Dengan ini, kemenangan milik pasukan Mehmet Durakovic setelah berhempas pulas ketinggalan 3 kali sehingga perlawanan ke masa tambahan.

Perak berjaya mengatasi Terengganu 4-1 dalam penentuan sepakan penalti.

Skuad:
Terengganu FC: Mohd Suffian Abdul Rahman, Mohamad Kamal Azizi Mohd Zabri, Lee Andrew Tuck, Chanthacheary Bin, Abdul Malik Mat Ariff (Mohd Shahrul Aizad Zulkifli), Abdul Latiff Suhaimi, Mohd Faiz Mohd Nasir, K. Partiban (Nasrullah Haniff Johan), Adib Aizuddin Ab Latiff, Brice Hermann Tchetche Kipre (captain)(Mohamad Ashari Samsudin), Igor Zonjic.

Perak: Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Shahrul Mohd Saad (captain), Leandro Dos Santos Oliveira, Gilmar Jose Da Silva Filho, Wander Luiz Bitencourt Junior, Brendan Gan Seng Ling (Mohamad Nasir Basharudin), Muhammad Firdaus Saiyadi (Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri), Mohamad Idris Ahmad (D. Kenny Pallraj), Mohd Nor Hakim Hassan, Nazirul Naim Che Hashim, Amirul Azhan Aznan.