Tiada Keperluan Isytihar Darurat – Agong

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Yang DiPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di negara ini.

Pengelola Bijaya DiRaja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah menyatakan bahawa keputusan itu dibuat setelah mengkaji dengan teliti permintaan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga setelah berbincang dengan Raja-raja Melayu selain melihat situasi semasa di dalam negara.

“Al-Sultan Abdullah berpendapat bahawa tidak ada keperluan bagi Baginda untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau di mana-mana bahagian Malaysia.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia merasakan bahawa kerajaan saat ini telah berhasil menangani pandemik COVID-19 dengan baik dan berkesan.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah berkenan memperhalusi permohonan yang dipersembahkan Muhyiddin di majlis mengadap di Kuantan, Pahang pada 23 Okt lalu.

Katanya permohonan tersebut ialah pelaksanaan darurat mengikut Perkara 150(2B) Perlembagaan Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.