Tiga Negeri Catat Peningkatan Kes Influenza

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan mencatatkan peningkatan kes influenza di kalangan kanak-kanak sekolah sehingga semalam (15 Jan).

Pengarah Pendidikan Negeri Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad berkata seramai 161 pelajar daripada 77 sekolah rendah dan menengah telah disahkan dijangkiti pada Rabu, berbanding 142 daripada 70 buah sekolah pada hari Selasa (14 Jan).

Daripada jumlah itu, beliau berkata sembilan pelajar telah dimasukkan ke hospital.

“Mereka yang tidak menerima rawatan di hospital telah dikuarantin di rumah mereka dan semuanya stabil,” kata Abdul Rashid kepada Bernama.

Di Perak, pengarah pendidikan negeri Dr Suhaimi Mohamed Ali berkata 57 pelajar kini disahkan dijangkiti, berbanding 37 hari Selasa.

Beliau berkata ia melibatkan 34 sekolah di lima daerah iaitu Manjung; Kinta; Larut, Matang dan Selama; Bagan Datuk dan Perak Tengah.

Bilangan itu terdiri daripada 16 pelajar dari Bagan Datuk termasuk dari SM Sains Teluk Intan (Semesti) yang telah ditutup sejak Isnin (13 Jan).

Di Negeri Sembilan, jumlah kes juga meningkat kepada 22, berbanding dengan 11 yang dicatatkan pada hari Selasa.

Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Faid Rashid, 11 kes tambahan yang dilaporkan melibatkan pelajar pra sekolah di Port Dickson.

Beliau berkata kes-kes seperti Penyakit Influenza (ILI) juga menyaksikan peningkatan daripada 106 kes yang direkodkan pada Selasa sehingga 112 hari Rabu.

“Bagaimanapun, Influenza dan ILI di negeri ini masih terkawal, tiada sekolah ditutup dan tiada kematian dilaporkan,” katanya.

Di Selangor, pengarah pendidikan negeri Dr Mahanom Mat Sam berkata 387 kes influenza yang melibatkan 149 buah sekolah telah direkodkan di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada kelas atau sekolah di seluruh Selangor ditutup sehingga kini.