Tiga projek jalan, longkang sedang dilaksanakan di daerah Kerian

Reading Time: 2 minutes

BAGAN SERAI, 14 Mei (Bernama) — Kerajaan persekutuan memperuntukkan lebih RM1 juta bagi melaksanakan tiga projek pembinaan dan menaik taraf jalan serta longkang di kawasan Simpang Empat Jalan Sungai Bakau, Pekan Tanjung Piandang dan Jalan Kerian-Semanggol.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamsari berkata projek itu membabitkan pelebaran jalan di Simpang Empat Jalan Sungai Bakau, pembinaan longkang (Pekan Tanjung Piandang) dan menaik taraf longkang di Jalan Kerian-Semanggol.

Katanya, ketiga-tiga projek yang sedang dijalankan dan dijangka siap tidak lama lagi itu dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir akibat longkang kecil menyebabkan air tidak dapat mengalir dengan cepat apabila hujan lebat.

“Kebanyakan masalah jalan dan longkang di kawasan itu adalah isu lama dan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, kita turun untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat,” katanya dalam sidang media ketika meninjau masalah banjir di Pekan Gunung Semanggol di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan di 10 kawasan yang mengalami masalah jalan, longkang serta kawasan yang sering banjir antaranya di Tanjung Piandang, depan Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan, Simpang Empat Jalan Sungai Bakau, Pekan Kuala Kurau, Pekan Gunung Semanggol.

Mengulas lanjut, Abdul Yunus berkata longkang sedia ada di kawasan Pekan Gunung Semanggol perlu diperbesarkan bagi membolehkan air hujan dapat mengalir sekali gus mengelak berlakunya banjir kilat.

“Kita juga akan turun sekali lagi ke kawasan ini dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) Kerian dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana mungkin sistem perparitan itu di bawah bidang kuasa PBT ataupun JPS,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol Razman Zakaria berkata masalah banjir kilat di Pekan Gunung Semanggol sudah berlarutan sejak 20 tahun lalu.

Beliau berkata sistem perparitan yang sudah lama dan kecil menjadi punca banjir kilat kerana pembangunan pesat di kawasan itu.

“Apabila berlakunya hujan lebat, air dari bukit turun dalam setengah jam dan pekan ini akan dipenuhi dengan air yang akan memasuki rumah kedai di sini,” katanya.

— BERNAMA