Wabak Lemahkan Permintaan, Ganggu Rantaian Bekalan

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR (Bernama) | Moody’s Investors Service menegaskan bahawa wabak Covid-19 Wuhan menimbulkan tekanan terhadap pertumbuhan di Asia Pasifik, dengan kesannya terutama melalui perdagangan dan pelancongan, dan bagi sesetengah sektor juga melalui gangguan rangkaian bekalan.

Firma penarafan kredit, dalam laporan baru hari ini, berkata kejutan itu datang di sebalik penurunan yang ketara pada tahun 2019 memandangkan penurunan perdagangan global melanda rantau ini.

“Tanggapan asas kami adalah bahawa kesan ekonomi wabak koronavirus akan berterusan selama beberapa minggu, sebelum berakhir dan membolehkan aktiviti ekonomi biasa disambung semula.

“Kami telah menurunkan unjuran pertumbuhan China kepada 5.2 peratus untuk 2020 daripada 5.8 peratus sebelum ini, mencerminkan impak ekonomi yang teruk tetapi jangka pendek, dengan kesan ketara bagi ekonomi di seluruh rantau ini,” kata Naib Presiden Kanan Moody Christian de Guzman .

Secara khususnya, Moody menjangka Macau (stabil Aa3) dan Hong Kong (stabil Aa3) akan menerima kesan terbesar, memandangkan integrasi ekonomi mereka yang rapat dengan China (stabil A1).

Semakan ramalan juga menggabungkan pandangan terkini yang tidak berkaitan dengan wabak koronavirus, termasuk permintaan dalam negeri yang lemah di India (Baa2 negatif) dan Thailand (Baa1 positif), serta jangkaan terhadap polisi dasar.

Permintaan China yang berkurangan untuk eksport dan gangguan rantaian bekalan mewakili dua saluran penghantaran yang paling langsung untuk melambatkan pertumbuhan ekonomi, walaupun perdagangan perkhidmatan menambah saluran ketiga.

Oleh itu, pengeksport barangan dan komoditi paling terdedah kepada kejatuhan permintaan China, sementara hub pelancongan yang bergantung kepada pengunjung China juga akan terdedah, kata Moody.