Waktu Operasi Mesin ATM Kembali Seperti Biasa Esok

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Waktu operasi terhad untuk mesin juruwang automatik (ATM) yang dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat akan dilonggarkan mulai Isnin (1 Jun).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, waktu operasi mesin ATM akan kembali seperti biasa dari hari Isnin mengikut amalan bank.

Sebelum ini waktu operasi mesin ATM telah dihadkan antara pukul 8 pagi hingga 8 malam semasa PKP dan PKP Bersyarat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Orang ramai, bagaimanapun, harus terus mematuhi protokol jarak sosial ketika menggunakan ATM,” katanya pada taklimat media harian di sini, Ahad (31 Mei).

Kerajaan telah menguatkuasakan waktu operasi dari 8 pagi hingga 8 malam pada 19 April, berikutan penemuan polis bahawa ramai yang keluar pada larut malam dengan alasan mahu membuat pengeluaran ATM.