Warga Ipoh Buat Pembelian Panik

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Ekoran pengumuman ‘besar’ yang akan diumumkan oleh perdana menteri pada malam ini, warga bandaraya Ipoh sudah mula keluar ke pasaraya beramai-ramai untuk membeli stok barangan seharian terutama makanan.

Tinjauan wartawan Independent ke salah sebuah pasaraya di Ipoh petang tadi menyaksikan warga Ipoh mula menyerbu pasaraya membuat pembelian panik sejak pukul 4 petang lagi.

Troli untuk memasukkan barangan juga semuanya habis digunakan oleh pelanggan. Rak jualan tisu juga kelihatan hampir dikosongkan manakala topeng muka sudah tidak dapat diperolehi lagi.

Seorang pelanggan kelihatan memasukkan 3 kampit beras 10 kilogram ke dalam trolinya. Kebanyakan troli sarat dengan barangan beli belah terutama makanan, makanan sejuk beku dan bahan-bahan mentah.

Cecair sabun pencuci tangan juga hampir kehabisan. Pelanggan menghabiskan masa tidak kurang setengah jam untuk beratur di kaunter membuat bayaran.

Perdana Menteri mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.

Perintah Kawalan Pergerakan itu mengandungi 6 perkara berikut:

Pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan 2 hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian. Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara. Bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari;

Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara;

Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti;

Kelima, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara; dan

Keenam, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.