Independent

Patuhi SOP, Rakyat Digalak Kunjungi Pawagam

Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 3 Julai  (Bernama) | Bagi merancakkan semula industri perfileman dan hiburan negara, rakyat digalakkan mengunjungi pawagam dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Jelasnya, pengunjung tidak perlu risau memandangkan pihak syarikat panggung wayang sedia mematuhi SOP yang ditetapkan bagi menjaga keselamatan penonton dengan pelbagai kaedah seperti penjarakan sosial dan sanitasi tempat duduk.

Katanya, beliau sendiri berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP di pawagam berdasarkan laporan yang diterima setelah tiga hari pawagam dibenarkan beroperasi sejak 1 Julai.

“Yang penting bukan hanya pempamer (syarikat) panggung wayang patuh SOP, penonton juga harus datang. Tiada gunanya panggung dibuka tapi tidak ada penonton, saya harap rakyat Malaysia menjaga kesihatan dan keselamatan… dan kita bagi sokongan kepada jaringan pembikinan filem ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat sebuah pawagam dekat sini hari ini bagi meninjau pematuhan garis panduan  sempena pembukaan semula pawagam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Saifuddin berkata sekiranya berlaku peningkatan kes atau kemunculan kluster baharu, tindakan tegas akan diambil di kawasan terbabit, sebagai contoh, pengisytiharan kawasan kuning atau merah bagi kawasan tempat tinggal.

“Contohnya, ada kawasan pasar malam yang sebelum ini dibenarkan mula beroperasi semasa PKPP namun kerana SOP tidak dipatuhi maka majlis pembandaran mengambil tindakan tegas dengan menutup semula pasar malam itu.

Kita tak nak perkara itu berlaku di panggung wayang dan sebagainya, jadi nasihat saya ialah di satu pihak pempamer (syarikat) panggung wayang menyediakan SOP yang ketat dan kita sebagai penonton harus mengawal diri dan mengikut SOP itu,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata kementeriannya menyedari ramai pemain industri perfileman dan seni terkesan kerana tidak dapat beroperasi ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

“Sehubungan itu, dalam masa enam bulan ini kita akan gunakan dana yang disediakan melalui PENJANA (Pakej Jana Semula Ekonomi Negara) ini serta mana-mana dana yang ada dengan sebaiknya,” katanya.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bakal menumpukan usaha bagi membantu syarikat produksi menghasilkan lebih banyak filem dan drama dalam tempoh enam bulan akan datang menerusi pinjaman mudah berjumlah RM100 juta di bawah PENJANA.

Sementara itu, Saifuddin menzahirkan rasa puas hati dengan tahap pematuhan SOP kru penggambaran termasuk para pelakon, juruteknik dan jurusolek semasa melakukan lawatan kerja di set penggambaran di Taman Pudu Ulu di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Ahmad Idham Ahmad Nadzri dan Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid.

Exit mobile version