Independent

150,000 Hufaz Profesional Dilahirkan Menjelang 2025

Reading Time: < 1 minute

BAGAN DATUK – Usaha melahirkan 150,000 hufaz profesional dalam menegak dan memantapkan syiar Islam di negara ini akan diteruskan, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, usaha dan azam murni ini dijangka dapat dicapai menjelang tahun 2025.

“Para hufaz ini bukan sahaja merupakan golongan profesional dalam bidang kerjaya masing-masing antaranya jurutera, peguam dan doktor malah mereka berkemampuan penuh dalam membantu meninggikan syiar Islam dengan menduduki jawatan sebagai pembantu imam,’’ katanya.

Zahid berkata demikian semasa berucap pada Program Tadarus Al Quran Peringkat Parlimen Bagan Datuk di Dewan Wisma UMNO Bagan Datuk Sungai Sumun pada Sabtu. Hadir Sama Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya
dan Adun Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi.

Menurut Zahid, kini terdapat 100,000 ahli tahfiz dan bilangan mereka akan ditingkatkan menjadi lebih profesional di masa depan.

Terdahulu beliau menyarankan umat Islam agar usaha penghafalan Al-quran ini dapat terus diamalkan bukan sahaja di bulan-bulan suci Ramadan malah pada setiap masa.

Pada majlis itu beliau telah menyampaikan hadiah cenderahati kepada para peserta.

Datuk Zahid juga berbuka puasa dan solat Magrib di Maahad Tahfiz Sungai Balai,dan solat sunat taraweh di Masjid Terapong Hajah Tuminah.

Exit mobile version