Independent

Ahmad Faizal Zahir Komitmen Bantu Pusat Pendidikan Al-Barakah

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Dato’ Azumu menzahirkan komitmen dan keprihatinan beliau untuk membantu pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al-Barakah yang sedang menghadapi kekangan kewangan.

Katanya, kerajaan negeri Pakatan Harapan akan berbincang dengan pihak pengurusan untuk mengenalpasti kaedah sesuai bagi membolehkan pusat itu terus beroperasi seperti biasa.

“Saya mengambil maklum di atas isu kekangan dana Pusat Pendidikan Al Barakah yang diasaskan dan dikendalikan oleh penceramah bebas Datuk Ustaz Kazim Elias yang berpusat di Manjoi, Ipoh, Perak.

“Susulan daripada laporan media dan media sosial, saya dengan ini menzahirkan keprihatinan dan komitmen untuk membantu pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah berkaitan kekangan kewangan yang dihadapi.’’ latanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Rabu.

Ahmad Faizal menjelaskan, pihak kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai kekangan dana yang dihadapi oleh pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah sehinggalah isu berkenaan dilaporkan oleh pihak media dan ditularkan di media sosial.

“Bagaimanapun, saya komited untuk membantu pengurusan Pusat Pendidikan Al Barakah demi kepentingan para pelajar dan para kakitangannya.’’ katanya.

Beliau menyambut baik keputusan Datuk Mohd Kazim Elias hari ini untuk menangguhkan cadangan penjualan Unit Tahfiz Al-Quran di Pusat Pengajian Al Barakah sementara mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri demi kemashlahatan ummah yang mendapat manfaat daripada aktiviti pengajian Islam di pusat berkenaan. 

Mengenai fitnah kononnya kerajaan Pakatan Harapan telah mengharamkan Datuk Mohd Kazim Elias daripada berceramah, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak pernah sama sekali, secara langsung atau tidak langsung mengeluarkan arahan sedemikian.

“Biarpun begitu, secara peribadi saya memaafkan pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat menyebarkan fitnah berkenaan serta mendoakan semoga mereka mendapat pengampunan dan petunjuk dari Allah SWT.’’ katanya.

Exit mobile version