Pengurus pasukan bolasepak Liga Super Perak, Ahmad Shahrul Azhar kekal sebagai pengurus pasukan untuk musim ini.
Kenyataan itu disampaikan oleh Presiden PAFA yang baru, Hasnul Zulkarnain bin Abd Munaim dalam sidang media di pejabat PAFA di Ipoh pagi tadi. Bagaimanapun, dalam mesyuarat PAFA kali pertama pada 23 Julai lalu, mesyuarat tersebut telah bersetuju melantik Abdul Aziz Yeop Jamaluddin Setiausaha Agung PAFA, yang sebelum ini disandang oleh Ahmad Shahrul.
Tiada Istilah Penamatan Kontrak
Menurut Hasnul, beliau memahami kegelisahan yang dirasai oleh penyokong pasukan bolasepak Perak tentang peranan Ahmad Shahrul. Beliau menekankan bahawa tidak terdapat istilah penamatan kontrak Ahmad Shahrul kerana dia masih lagi dikekalkan sebagai pengurus pasukan.
“Cuma penukaran jawatankuasa dalam pengurusan sekretariat PAFA itu sendiri,” kata Hasnul.
Ahmad Shahrul sebelum ini dilihat berada dalam pengurusan tertinggi majlis dalam masa yang sama memegang jawatan sebagai pengurus pasukan Perak. Dengan perubahan susunan dalam jawatankuasa PAFA yang baru ini, beliau berharap Ahmad Shahrul dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pasukan Liga Super Perak dalam perlawanan terakhir menentang PKNS seterusnya memastikan Perak kekal di tangga kedua untuk layak beraksi dalam Kejohanan Bolasepak Asia (AFC).
“Kita rasa inilah perancangan yang kami mampu laksanakan dalam masa terdekat ini, peranan Ahmad Shahrul harus dimanfaatkan sepenuhnya bersama dengan pasukan liga utama.
“Kalau kita melihat, peranan seorang setiausaha ini lebih kepada pengurusan di sekretariat pejabat PAFA yang mana ia melibatkan surat menyurat, dan juga urusan² mesyuarat atau pun berkaitan dengan FAM, saya kira peranan ini boleh dimainkan oleh Setiausaha yang baru dan Ahmad Shahrul Azhar mempunyai tugas yang lebih besar dalam nenguruskan pasukan dalam Liga Super ini,” tambah Hasnul.
Ditanya tentang salah faham dan tuduhan liar di media sosial kononnya pengurusan PAFA yang baru lebih menjurus kepada campur tangan politik, Hasnul menjelaskan bahawa realiti adalah sebaliknya. Pengurusan PAFA kali ini lebih unik kerana ini adalah kali pertama jawatankuasa menawarkan gandingan dari berbagai latarbelakang politik tidak kira dari parti kerajaan ataupun pembangkang.
“Kami datang dari berbagai latarbelakang politik. Kita menggabungkan pengalaman dan juga kemahiran serta kepercayaan daripada pucuk pimpinan tertinggi kerajaan negeri Perak untuk kita adunkan yang terbaik dari team yang ada ini demi kemajuan bolasepak negeri Perak,” ujar beliau.