Independent

Jaga Jarak Sosial Ketika Beratur di Kaunter, Mesin ATM

PHOTOGRAPH: DAVID RAMOS/GETTY IMAGES

Reading Time: 2 minutes

PHOTOGRAPH: DAVID RAMOS/GETTY IMAGES

Tinjauan wartawan Independent di beberapa kedai runcit, pasaraya, stesen minyak dan mesin ATM di bank di sekitar Ipoh mendapati masih ramai tidak memahami atau tidak mempraktikkan penjarakan sosial yang disarankan oleh kerajaan dalam usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Mungkin ramai yang keliru kerana perkataan ‘penjarakan’ itu sebenarnya berasal dari perkataan ‘jarak’ bukannya dari perkataan penjara.

Sepatutnya orang ramai yang beratur tidak kira semasa untuk membayar di kaunter atau mengeluarkan dan mendepositkan wang di mesin-mesin ATM mesti mengamalkan jarak sosial yang selamat sekurang-kurangnya 1 meter.

Jarak sosial yang dimaksudkan benar-benar jarak fizikal di mana ruang di antara dua individu kira-kira sejauh 1 meter, tidak lebih hampir dari itu. Jika dalam situasi ramai manusia di satu tempat, contohnya bank, anda sepatutnya tidak masuk ke dalam premis bank untuk turut beratur sebaliknya tunggu seketika dan memberi sedikit masa orang-orang yang sedang beratur itu selesaikan urusan mereka kemudian barulah giliran anda pula masuk.

Ini untuk mengelakkan barisan yang rapat-rapat dan kesesakan yang boleh mengundang risiko yang merbahaya. Kita tidak kenal siapa orang di sekeliling kita dan apa latar belakang mereka, ke mana mereka pernah pergi sebelum ini dan siapa kontak rapat mereka. Mungkin salah seorang dari mereka pernah berhubung rapat dengan individu lain yang membawa virus tapi tidak menyedari dirinya telah dijangkiti virus.

Jika orang-orang yang sedang beratur ini berdiri terlalu hampir dengan anda, sila beritahu mereka secara sopan agar beri ruang sekurang-kurangnya 1 meter. Tidak perlu terlalu dekat.

Penyakit ini amat merbahaya dan boleh membunuh. Kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar. Dalam keadaan bersesak-sesak di tengah kelompok manusia yang kita tidak kenali, berbagai kemungkinan boleh berlaku dan yang lebih buruk lagi jika anda tidak sedar anda telah dijangkiti.

Seorang individu boleh menyebarkan droplet kepada berpuluh individu lain dan mereka di peringkat kedua ini pula menjadi ‘ejen’ kepada individu lain di peringkat ketiga di sekeliling mereka. Akhirnya jangkitan merebak secara besar-besaran dalam masa beberapa hari sahaja seperti yang berlaku di Itali.

Oleh itu, amalkanlah jarak fizikal yang selamat, jangan beratur terlalu hampir di kaunter bayaran, mesin ATM dan sebagainya. Selamatkan diri anda, keluarga anda dan orang-orang di sekeliling anda.

Exit mobile version