Independent

Armada Bersatu Perak: Pembangkang Guna Strategi Lapuk Mahu Menangi PRK Tg Piai

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Bersatu negeri Perak menyelar tindakan pihak tertentu yang memuat naik rakaman video percakapan tidak formal Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu ketika kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai yang kini tular di media sosial.

Pihak yang memuat naik video tersebut hanya memuat naik sebahagian dari keseluruhan percakapan Pengerusi Bersatu Perak semasa berkempen untuk calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini jelas bertujuan untuk mencetuskan ketidak harmonian di kalangan komponen PH, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Armada Bersatu negeri Perak, Mohd Hafez Mubin Mohad Salleh sebentar tadi.

“Saya tegaskan bahawa video tersebut sama sekali tidak menggambarkan keseluruhan konteks perbualan Menteri Besar Perak pada waktu itu.

“Ini adalah salah satu strategi lapuk yang selalu dimainkan pihak pembangkang untuk mencetuskan perpecahan kalangan parti-parti komponen PH seperti mana yang berlaku sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dan beberapa pilihan raya kecil sebelum ini,” menurut Hafez.

Armada dalam pada itu menyeru seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong PH supaya tidak termakan dengan fitnah yang dimainkan pembangkang bagi mencapai cita-cita mereka merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai dari PH.

Exit mobile version