Independent

Aziz Bari Anggap Kenyataan Zahid Perlekeh Kerajaan Baharu PH…samakan dengan `tempe’ Tidak Wajar

Reading Time: 2 minutes

Exco kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak, Dr Abdul Aziz Bari menganggap kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memperlekeh kerajaan baharu PH dengan menyamakannya dengan `tempe’ sebagai tidak wajar.

Beliau yang juga bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, komen yang dibuat bekas Timbalan Perdana Menteri itu terhadap kerajaan baharu PH bukan satu komen yang sesuai.

“Dia bergantung apa maksud ataupun persepsi tempe yang dia (Zahid) faham saya rasa dia nak perlekeh pakatan harapan itu bukan satu yang logical dan wajar dan sebagai bekas anggota pentadbiran yang lepas patutnya dia ucap selamat pada kita dan sampai masa besok di parlimen kritiklah apa dia rasa tak betul ataupun patut dikritik .

“Jadi untuk melekeh bukan satu komen yang sesuai dan mungkin boleh juga dilihat sebagai menjatuhkan martabat dan maruah dia sebagai bekas timbalan perdana menteri dan orang yang sekarang ini yang pada asasnya meminpin UMNO kalau UMNO ataupun pemimpin UMNO yang diamanahkan untuk menghidup semula UMNO, untuk menjenama semula UMNO ini berfikiran seperti itu saya fikir gelaplah masa depan UMNO.” katanya kepada pemberita di Ipoh pada Selasa.

Dr Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Tebing Tinggi mengulas kenyataan Zahid Hamidi yang membidas kerajaan baharu Pakatan Harapan yang didakwa tidak konsisten dalam memberikan fakta sekali gus menyamakannya dengan tempe.

Naib presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas presiden itu berkata, sehingga kini tiada satu pun janji yang dibuat mereka dapat dilaksanakan walaupun banyak yang dijanjikan sebelum menang Pilihan Raya Umum ke-14.

“Kita lihat contohnya, apabila diisytiharkan mereka menang, kata harga minyak akan turun tetapi kenyataannya sehingga sekarang tidak turun.

“Mereka juga isytihar GST akan dihapuskan tapi tidak ada barang yang harga turun walaupun GST 0 peratus. Ada 90 barangan yang telah naik harga.

“Begitu juga kalau kita lihat PTPTN, apabila mereka kata berpendapatan RM4 ribu ke bawah tidak perlu bayar maka situasi untuk pembiayaan semula melalui PTPTN tidak dapat dilaksanakan.

“Mereka juga mengatakan hutang negara RM1 trilion, tetapi yang jelas hanya RM686.8 billion. Mereka katakan ada pinjaman asing tetapi sebenarnya ‘domestic debt’ iaitu pinjaman dalam negara, ertinya tidak ada pengaliran wang tunai ke luar negara,” katanya memetik umno-online.

Beliau berkata demikian dalam program berbuka puasa bersama ketua-ketua penerangan Bahagian Umno, Ahad.

Zahid berkata kerajaan baharu juga menuduh kerajaan terdahulu membuat pinjaman dalam bentuk US dollar dan yen tetapi kenyataan dari Bank Negara Malaysia (BNM) membuktikan hanya dua peratus sahaja pinjaman dalam bentuk US dollar dan satu peratus dalam yen.

“Ertinya pinjaman kita dalam bentuk ringgit. Mereka juga kata Bursa KL akan meningkat tapi akhirnya merudum jatuh.

“Dulu mereka kata ekonomi berada dalam kekecamukan dan negara hampir bankrup tetapi akhirnya mereka kata ekonomi kukuh.

“Siang cakap lain petang cakap lain. Macam tempe… pagi masih lagi kacang, petang sudah jadi tempe, esok sudah naik kulat,” kata beliau.

Beliau berharap semua ahli Parlimen BN bersatu menjadi pasukan pembangkang yang efektif di Dewan Rakyat bagi mengekang fitnah dan tohmahan tidak benar kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan.

Exit mobile version