Independent

Bekas Adun DAP Umum Sertai Gerakan

Reading Time: < 1 minute

IPOH |Kerana merasakan perjuangan DAP tidak lagi berpaksi kepada pentadbiran  yang mengutamakan kebajikan rakyat,   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, S. Sivasubramaniam hari ini mengisytiharkan dirinya sebagai ahli parti Gerakan.

Beliau yang telah bersama DAP selama hampir 23 tahun membuat pengumuman itu dalam dalam satu sidang media di Wisma Gerakan Perak yang dihadiri Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Menurut Sivasubramaniam, selama 22 bulan campur tangan DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah Perak disifatkannya sebagai terlalu parah apabila masyarakat diabaikan kerana kepentingan diri.

“Keadaan sebenarnya terlalu pahit, demokrasi dalam DAP dikawal oleh satu dua orang yang berkuasa mengenepikan kesuburan demokrasi itu sendiri.

“Maka keputusan saya melepaskan keahlian DAP adalah tepat dan berasaskan kebajikan rakyat kawasan, saya bertanggungjawab kepada mereka dan rela mengorbankan segala kepentingan yang ada demi melindungi pengundi saya.

“Gerakan akan menjadi wadah perjuangan saya, selepas ini 21 cawangan DAP di kawasan Buntong yang tidak berpuas hati dengan corak politik parti itu akan turut menyertai Gerakan.

“Kita akan menggunakan platform Gerakan untuk memastikan perkhidmatan membantu rakyat tidak tergendala dan selalu turun padang,’’ kata Sivasubramaniam.

Sementara itu Dominic Lau berkata, penyertaan Sivasubramaniam ke dalam parti  jelas sekali  membuktikan perjuangan parti Gerakan yang ditubuhkan sejak 52 tahun itu adalah relevan.

Sivasubramaniam yang menyertai DAP pada 1997 kekal sebagai calon parti itu di kawasan DUN Buntong selama tiga penggal berturut-turut sejak pilihan raya umum 2004.

Exit mobile version