Independent

Bendera Terbalik Isyarat Si Pemasang Lebih Patriotik Dari Pihak Yang Mengecam?

Reading Time: 3 minutes

Kecoh di media sosial sejak sehari dua ini tentang bendera yang dipasang secara terbalik di beberapa lokasi. Ramai mula mengecam tindakan yang dilakukan oleh si pemasang yang dituduh cuba menghina kedaulatan negara. Namun tidak dapat dipastikan sama ada gambar-gambar yang tersebar di laman sosial itu benar atau telah dipalsukan.

Jika benar kejadian ini berlaku di satu dua tempat, mungkin ia boleh dikatakan tersilap pasang, mungkin si pemasang tidak menyedari bendera yang dipasangnya terbalik. Tapi jika ia berlaku di lebih dari satu dua tempat, tidak mungkin semua pemasang bendera tersilap dalam satu masa. Seolah mereka seperti berpakat. Ini menimbulkan tanda tanya di kalangan orang ramai.

Ada yang menganggap ini satu bentuk penghinaan terhadap negara. Ada yang mula membuat spekulasi kononnya itu isyarat ada pihak yang sedang bersiap sedia untuk mengisytiharkan perang, Perang dengan siapa tak tahulah!

Ada yang cuba mengaitkan perkara ini dengan isu perkauman. Ini lebih berbahaya.

Kami ada membuat pencarian maklumat tentang pemasangan bendera secara terbalik ini, apakah maksudnya jika ia sengaja dilakukan. Kami tidak menemui maklumat dalam bahasa Melayu kecuali ia banyak diperkatakan di luar negara terutama negara Uncle Sam, Amerika Syarikat.

Menurut maklumat yang diperolehi, sesetengah pihak atau individu dalam satu-satu masa memang sengaja memasang bendera terbalik. Tapi ini bukan bermakna mereka mengisytiharkan perang. Jauh sekali rusuhan. Ia juga bukan satu bentuk penghinaan terhadap negara yang benderanya diterbalikkan. Mereka juga tidak membenci bendera itu.

Penghinaan sesebuah negara melalui bendera atau kecaman dianggap berlaku jika benderanya dibakar, diludah, dipijak atau diperlakukan dengan cara yang tidak sepatutnya, contohnya meletak di punggung, menconteng dengan kata-kata kesat di atas bendera dan sebagainya.

Menurut laman web luar negara itu, mereka yang memasang bendera terbalik sebenarnya lebih patriotik dari mereka yang tidak mengerti apa-apa tentangnya dan hanya tahu menuding jari menyalahkan pihak yang bertindak demikian.

Di AS, bendera terbalik adalah satu isyarat ‘distress’ atau ingin menunjukkan dalam situasi memerlukan pertolongan – bukannya mahu berperang. “Distress” di sini boleh jadi terkait dengan keadaan ekonomi, jenayah, alam sekitar, kesihatan, keselamatan atau dasar negara yang perlu diberi perhatian segera atau diberi pertolongan. Ia juga boleh bermaksud isyarat protes – mungkin protes terhadap dasar tertentu atau keputusan yang diambil oleh pemerintah. Itulah maksud simbolik bendera terbalik di luar negara, namun tidak pasti sejauh mana ia dipraktikkan oleh mereka di dalam negara ini.

Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 194 tidak menyebut tentang bendera yang dipamer secara terbalik. Bagaimanapun, Jabatan Perdana Menteri telah menetapkan beberapa garis panduan agar penggunaan Jalur Gemilang sentiasa dihormati oleh rakyat Malaysia. Antaranya:

i. Bendera hendaklah dipasang secara melintang sahaja. Tidak boleh dipasang secara menegak sekiranya berkedudukan statik atau tidak berkibar. Walau bagaimanapun dibolehkan memasang secara menegak sekiranya bendera disambung dalam kuantiti yang banyak.

 

ii. Penggunaan bendera dalam bentuk pelbagai seperti pakaian dan sebagainya perlu dielakkan kecuali semasa sambutan Bulan Kemerdekaan dan jangka masa penggunaannya adalah terhad. 

 

iii. Tidak boleh menggunakan bendera dalam perkara yang ditafsirkan sebagai merendahkan martabat Jalur Gemilang seperti alas meja, kain tudung, payung, songkok, topi, tuala mandi, alas kusyen dan sebagainya.

 

iv. Pengunaan bendera dalam pelbagai gaya dan bentuk seperti iklan dalam tujuan mempromosi sambutan Bulan Kemerdekaan dibenarkan asalkan kreativiti tersebut tidak ditafsirkan sebagai menghina bendera.

 

v. Mengibarkan bendera yang telah uzur seperti telah pudar warna dan koyak adalah satu kesalahan atau ketidakwajaran.

Menurut Seksyen 3 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 Mana-mana orang yang melanggar Seksyen 3 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM1,000. Mana-mana individu yang menghina atau melakukan provokasi melampau terhadap bendera Jalur Gemilang yang bertujuan mecemar nama baik atau menghasut juga
boleh dikenakan tindakan berdasarkan Kanun Keseksaan Akta Hasutan 1948.

Yang lebih utama, tidak ada pihak yang cuba menangguk di air keroh mengambil kesempatan dengan cuba mengadu domba mencetuskan ketegangan antara kaum di negara ini. Ia tidak seharusnya dilakukan kerana boleh mengundang keadaan yang lebih buruk dan ia sudah semestinya orang-orang inilah yang sebenarnya tidak ‘patriotik’.

Exit mobile version