Independent

Bersatu Santuni Masyarakat Sempena Tahun Baru Cina

Reading Time: 2 minutes

PARIT BUNTAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Parit Buntar, telah menganjurkan Program Menyantuni Masyarakat Setempat sempena Tahun Baru Cina yang bakal disambut beberapa hari lagi.

Program bermula seawal pagi itu turut disertai oleh Angkatan Muda Bersatu dan Srikandi Bersatu Bahagian Parit Buntar.

Acara program bermula di persekitaran pasar pusat bandar Parit Buntar diikuti sekitar Pekan Tanjung Piandang dan berakhir di Pekan Kuala Kurau.

Menurut Ketua Bahagian Bersatu Parit Buntar, Abdul Razak Ismail, program ini adalah sebahagian daripada usaha Bersatu untuk memupuk semangat muhibah dan mengukuhkan perpaduan antara kaum tanpa mengira ideologi politik, agama, bangsa dan budaya.

“Saya bersyukur dan gembira kerana program ini bukan sahaja dapat mendekatkan masyarakat memahami fungsi Bersatu dalam masyarakat, malah mengumpul pelbagai maklumat keperluan dan harapan rakyat kepada kerajaan baharu.

“Misalnya, masalah anjing liar yang berkeliaran dan nasib golongan B40 yang perlu diberi perhatian serius agar tidak terus tercicir dari arus pembangunan”, kata Abdul Razak yang juga Ahli Majlis Daerah Kerian kepada Independent.my pada Ahad.

Sementara Setiausaha Bersatu Parit Buntar, Abd. Halim Hj Nayan berharap program seperti ini dapat diadakan berterusan dan masyarakat dapat menilai kepentingan serta peranan Bersatu sebagai wadah membantu masyarakat dalam sistem demokrasi negara.

“Sebanyak 140 kotak buah limau daripada Pejabat YAB Menteri Besar Perak berjaya diagihkan kepada 700 orang untuk program sulung kami di sini. Semoga program seperti ini dapat diperluaskan dalam perayaan-perayaan lain dan aktiviti khidmat sosial atau CSR juga”, katanya.

Exit mobile version